BREAKING NEWS

Monday, 7 May 2018

Masyarakat Cina jangan bersekongkol dengan politik kebencian DAP - Datuk Huan Cheng Guan




BUTTERWORTH 7 Mei – Masyarakat Cina digesa tidak bersekongkol dengan taktik politik DAP yang bermain dan menyebarkan sentimen kebencian dalam kalangan rakyat sehingga boleh mengancam keamanan negara.

Timbalan Pengerusi Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan berkata, pelbagai fitnah dan pembohongan dibuat DAP terhadap kerajaan ketika ini semata-mata untuk membangkitkan kemarahan penyokongnya.


Beliau yang juga calon Parlimen Bagan bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) turut menggesa rakyat tidak terikut-ikut dengan permainan politik DAP yang menyerang peribadi individu tertentu yang tidak sehaluan dengan mereka.

“Terbaharu, pemain badminton nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei yang merupakan anak jati Pulau Pinang menjadi mangsa politik kebencian oleh penyokong DAP selepas diserang dan dihina hanya kerana menyertai program bersama-sama MCA.

“Ini adalah pendekatan politik tidak sihat yang diamalkan DAP yang jika dibiarkan dan diterima rakyat, boleh mengancam kestabilan dan keharmonian negara,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa rakyat meneliti dengan berhati-hati sebarang berita yang diterima mereka khususnya sepanjang PRU-14 supaya tidak termakan dengan berita fitnah dan palsu.

Beliau mengambil contoh tindakan pembangkang yang menyebarkan maklumat kononnya undi pos yang berlangsung pada 5 April lalu sudah dikira dan majoritinya berpihak kepada pembangkang.

“Berita ini adalah ternyata palsu dan fitnah jahat pembangkang kerana umum mengetahui kiraan undi hanya dibuat selepas tempoh pengundian ditutup pukul 5 petang, 9 Mei ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE
 
Copyright © 2014 PenangKini.