BREAKING NEWS

Wednesday, 2 May 2018

Najib perbetulkan masalah era Mahathir

KUALA LUMPUR – Sebahagian pelan transformasi untuk Malaysia yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai kaitan dengan usaha membetulkan masalah lampau, kata timbalan pengarah komunikasi strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Eric See-To.

Beliau berkata, Najib tidak mahu mengulangi kesilapan sama ketika kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad , terutama yang bersangkutan dengan penswastaan aset kerajaan kepada pihak yang digambarkan sebagai ‘kroni tidak berkelayakan’.

“Najib menjadi mangsa kepada ketulusannya dalam memacu perubahan di Malaysia untuk meninggalkan masa lampau. Jika beliau bersetuju dengan kehendak (politik) Mahathir ini bermakna status quo dan tidak akan ada transformasi,” katanya dalam artikel AFP Services, cabang komersial am AFP, berdasarkan wawancara agensi berita Perancis itu bersama beliau.

Dalam wawancara itu, See-To mendakwa bahawa Dr Mahathir mempunyai minat yang sifar terhadap masa depan Malaysia apabila dipetik daripada ucapan manifesto pilihan raya bekas perdana menteri itu.

“Kemudian, apabila disoal mengenai manifesto, Mahathir bukan sahaja tidak tahu apa yang telah dijanjikan, malahan mengakui bahawa manifesto itu tidak relistik, seperti menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan serta kutipan tol, katanya dalam artikel bertajuk ‘Battle Royale between Past and Present’

Se-To seterus berkata, daripada maklum balas peringkat bawahan beliau percaya Dr Mahathir tidak akan berupaya untuk membawa apa yang dipanggil tsunami Melayu’ sepertimana yang diharapkan oleh blok pembangkang.

Maklum balas itu, katanya , jelas memperlihatkan bahawa rakyat terkejut dengan blok pembangkang yang kini bekerjasama dengan musuh mereka dan akan ada reaksi untuk menghukum mereka kerana mengkhianati kepercayaan dan kekurangan prinsip.

See-To membuat perhitungan bahawa dalam keadaan tidak mungkin sekiranya Dr Mahathir dan sekutunya memenangi pilihan raya pada 9 Mei, beliau (Mahathir) tidak akan dapat memimpin.

“Apa yang saya bimbangkan Mahathir sendiri serta penyokongnya akan dikecewakan dan ditikam dari belakang kerana PKR pernah menyatakan bahawa mereka akan mengadakan suruhanjaya siasatan terhadap dakwaan ke atas Mahathir sepanjang tempoh beliau menjadi perdana menteri dahulu.”

Seterusnya beliau berkata, penganalisis bank menyatakan bahawa kemenangan BN bermakna akan ada kesinambungan pertumbuhan dan rangsangan positif terhadap masa depan ekonomi.

Blok Pakatan terdiri daripada DAP ,PKR, PPBM dan Amanah. – BERNAMA
 
Copyright © 2014 PenangKini.