BREAKING NEWS

Monday, 14 May 2018

Pelantikan Guan Eng belum dimuktamadkan - Dr M

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan pelantikan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan belum dimuktamadkan sebelum angkat sumpah jawatan dilakukan.

Dr Mahathir berkata, kerajaan juga akan dapatkan laporan terlebih dahulu berkaitan kes mahkamah dihadapi Guan Eng sebelum sebarang keputusan pelantikannya sebagai Menteri Kabinet dimuktamadkan.

"Dia (Guan Eng) belum angkat sumpah lagi tapi hanya dinamakan (sebagai Menteri Kewangan.

"Pelantikan menteri mesti dilakukan mengikut undang-undang. Kita tunggu dahulu bagaimana," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas ditanya wartawan mengenai kedudukan dan status Guan Eng yang kini berdepan kes mahkamah iaitu isu banglo di Pulau Pinang.

Katanya, beliau kena pastikan mana-mana menteri yang dilantik kelak adalah layak.

Sebelum ini, tiga pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) dinamakan sebagai menteri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri; Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan dan Guan Eng sebagai Menteri Kewangan.
 
Copyright © 2014 PenangKini.