BREAKING NEWS

Monday, 21 May 2018

Penumpang cemas, bas Rapid Penang jatuh parit


SEBERANG PERAI - Beberapa penumpang sebuah bas Rapid Penang berdepan detik cemas selepas kenderaan itu hilang kawalan sebelum terjatuh ke dalam longkang di Jalan Permatang Manggis, Kepala Batas di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 petang itu, lima penumpang dilaporkan mengalami kecederaan ringan manakala pemandunya yang sedang dirawat di zon merah masih tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, bas dipandu lelaki berusia 32 tahun itu sedang dalam perjalanan dari Taman Teluk Air Tawar menghala ke pekan Kepala Batas sebelum hilang kawalan.

"Bas itu disyaki terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar tiang elektrik di bahu jalan sebelum kenderaan itu terjatuh di dalam longkang.

"Pemandu bas yang luka pada dahi kanan dan cedera pada bahu kanan tidak sedarkan diri, manakala lima penumpang mengalami luka," katanya.

Noorzainy berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan lanjut berhubung punca kejadian.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE
®®
 
Copyright © 2014 PenangKini.