BREAKING NEWS

Thursday, 24 May 2018

Perlantikan KP SPRM Langgar Janji Manifesto - Chegu Bard

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) didakwa telah melanggar beberapa janji yang dibuat dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) jika berjaya merampas Putrajaya.

Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin bekata, manifesto PH berjanji bahawa jawatan penting seperti Hakim, Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan disahkan secara demokratik di Parlimen, bukannya melantik individu tertentu ‘sesuka hati’ bagi mengisi jawatan tersebut.

Beliau berkata, sebaliknya berlaku apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bertindak melantik Ketua Persuruhjaya SPRM yang baharu sebelum Parlimen bersidang.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana PH telah berjanji pengisian jawatan penting perlu dilakukan secara demokratik,” katanya kepada Watan Online, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegubard berkata, semasa PRU-14 lalu, manifesto PH turut menyatakan Perdana Menteri tidak akan memegang jawatan menteri lain terutama Menteri Kewangan.

“Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri konon tidak akan pegang jawatan atau portfolio lain, namun telah melanggarnya,” katanya.

Semalam, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Salehuddin Ayub berkata, kepemimpinan PH akan berbincang berhubung keputusan Dr Mahathir Mohamad yang menamakan dirinya sebagai Menteri Pelajaran walaupun bertentangan dengan manifesto gabungan itu.

Salehuddin berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama pimpinan tertinggi PH dalam tempoh terdekat.

Dr Mahathir menamakan dirinya sebagai Menteri Pelajaran, manakala Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang sebelum ini dinamakan Timbalan Perdana Menteri, diberikan portfolio Menteri Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan.



Wartawan Watan-Online
 
Copyright © 2014 PenangKini.