BREAKING NEWS

Thursday, 24 May 2018

Shukri hantar Whatsapp minta maaf pada saya – Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM

Shukri hantar Whatsapp minta maaf pada saya – Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM
KUALA LUMPUR- Tindakan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Datuk Seri Shukri Abdull yang menuduh Tan Sri Dzulkifli Ahmad sebagai pengkhianat negara disifatkan sebagai satu tuduhan berat.
Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM itu dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, beliau memandang serius kenyataan tersebut namun telah menerima permohonan maaf daripada Shukri.
“Sepanjang tempoh hampir 25 tahun berkhidmat di dalam Perkhidmatan Awam Malaysia,  saya telah menjalankan tugas yang diamanahkan dengan penuh tanggungjawab, profesional serta memberikan komitmen yang tinggi dan saya sesungguhnya tidak pernah pada bila-bila masa menjadi atau bertindak sebagai ‘Pengkhianat Negara’,” katanya.
Dzulkifli yang meletakkan jawatan minggu lepas bagaimanapun memberitahu beliau berlapang dada apabila Shukri ada menghubunginya menerusi aplikasi Whatsapp untuk memohon maaf.
“Saya amat terharu dan ingin memaklumkan bahawa Datuk Seri Shukri telah menghubungi saya pada pagi ini melalui whatsapp dan sebagai seorang yang berjiwa besar, beliau telah memohon maaf kepada saya di atas kenyataan yang tidak sepatutnya dikeluarkan terhadap diri saya dalam sesi sidang media tersebut semalam.
“Saya amat bersyukur dan berlapang dada untuk menerima permohonan maaf beliau dan kami berdua menyifatkan bahawa isu ini telah pun selesai,” katanya lagi.
Shukri dalam sidang media pertamanya selepas dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM semalam melabelkan Dzulkifli sebagai pengkhianat negara kerana melindungi pesalah sambil merujuk kepada skandal 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).
 
Copyright © 2014 PenangKini.