BREAKING NEWS

Wednesday, 9 May 2018

SKMM bakal siasat panggilan ‘spam’ misteri

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengesahkan pihaknya menerima aduan berhubung panggilan telefon “spam” yang diterima beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sejak awal pagi.

“Semua yang melaporkan isu itu kepada kami berkata telefom mereka berdering tetapi berhenti sebelum dapat dijawab.

“Siasatan awal mendapati ianya serangan BOTS yang dimulakan secara tanpa nama dari pelbagai sumber berbeza dengan sasaran berlainan, tanpa mengira parti politik,” kata SKMM dalam satu kenyataan.


Agensi itu juga merayu mereka di sebalik serangan ini agar “berhenti serta merta daripada menggunakan serangan teknikal sedemikian”.

“Semua panggilan ‘spam’ ini boleh menjejaskan rangkaian telekomunikasi, menyebabkan gangguan besar kepada orang awam di samping mewujudkan risiko keselamatan.”

SKMM juga menasihati agar semua orang tidak menjawab sebarang panggilan tidak dikenali.

“SKMM dan pembekal perkhidmatan sedang menjalankan siasatan dan jika pesalah dikenal pasti, SKMM akan ambil tindakan tegas sebagaimana diperuntukkan oleh undang-undang.”

Isu itu diketengahkan awal hari ini oleh pemimpin PH, kemudiannya didapati turut berlaku kepada pemimpin BN.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengecam mereka yang bertanggungjawab ke atas serangan itu.

“Telefon yang diserangi ‘spam’ ini tidak dapat berfungsi seperti biasa. Selain itu, banyak laman web BN pun tidak boleh diakses,” kata Najib di laman Twitter miliknya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.