BREAKING NEWS

Monday, 7 May 2018

SPR: Bukan 4 juta, tetapi hanya 212,834 pengundi pos

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak dakwaan kononnya terdapat 4 juta pengundi pos pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), sedangkan jumlah sebenar hanya 212,834 orang yang meliputi pelbagai kategori permohonan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata jumlah itu merangkumi 149,730 permohonan melalui Borang 1A melibatkan petugas pilihan raya, anggota tentera, polis dan petugas media.

“Bagi kategori permohonan melalui Borang 1B pula terdiri daripada warganegara Malaysia yang berada di luar negara sebanyak 7,979 permohonan,” katanya hari ini.

Hashim berkata, permohonan melalui Borang 1C pul seramai 51,472 orang.



Katanya, jumlah itu meliputi anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Imigresen, polis sukarelawan, petugas kesihatan di hospital dan klinik kerajaan, anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Penjara dan Agensi Pengurusan Bencana Negara.

Hashim berkata, terdapat kategori pengundi tidak hadir (PTH) luar negara yang merupakan penjawat awam dan pasangan serta pelajar sepenuh masa di luar negara serta pasangan sebanyak 3,653 permohonan.

Beliau menasihatkan pengundi pos segera mengembalikan kertas undi mereka kepada pegawai pengurus pilihan raya di bahagian pilihan raya masing-masing sebelum 5 petang 9 Mei ini.

Hashim turut menasihatkan pengundi pos tidak mempercayai mesej tular di media sosial yang menggesa mereka hanya mengembalikan kertas undi pos sahaja, tanpa mengembalikan borang pengesahan identiti kerana kononnya undi tidak akan menjadi rahsia.

“Pengundi pos diingatkan sekiranya mereka tidak mengembalikan kertas undi berserta borang tersebut, kertas undi pos mereka tidak akan dikira dan ditolak kerana dianggap tidak ditanda pemilih berdaftar.”

Tambahnya, SPR akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan mesej tidak benar berbentuk hasutan itu kerana ia boleh menyebabkan proses pengundian terjejas dan kertas undi tidak dikira dan ditolak.

Hashim berkata, semua pengundi termasuk pengundi pos tidak perlu gusar kerana SPR memberi jaminan undi mereka adalah rahsia dan tidak boleh diketahui sesiapa pun.
 
Copyright © 2014 PenangKini.