BREAKING NEWS

Monday, 21 May 2018

Sungai ‘teh tarik’ jejaskan nelayan di Tanjung Bungah

Peta menunjukkan sistem Sungai Kelian dengan kawasan yang terjejas, gambar ihsan pakar sains tanah, Dr Kam Suan Pheng.


GEORGE TOWN: Sebatang sungai di Tanjung Bungah seakan-akan menjadi “sungai teh tarik” susulan tanah runtuh di bukit yang berketinggian lebih kurang 250m atas paras laut pada Khamis lalu, dan kini air berlumpur itu menjadi ancaman kepada punca pendapatan bagi lebih kurang 100 nelayan di kawasan itu.

Klip video Sungai Kelian mengalirkan air berwarna coklatnya ke Selat Utara mula-mula dimuat naik oleh nelayan perairan pantai di Tanjung Bungah di Facebook, lalu menimbulkan kebimbangan berhubung pencemaran.

Ia disusuli dengan tindakan pembuat filem bebas, Andrew Han menyiasat perkara itu, menelurusi sungai yang bengkang-bengkok antara pinggir bandar di lereng bukit tersebut. Bagaimanapun, siasatan itu menemui jalan mati kerana sebahagian sungai itu dibina terusan atau mengalir di bawah bangunan bertingkat tinggi.

Pegawai Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang menerbangkan dron di kawasan itu berkata tanah runtuh itu berlaku secara semula jadi dan kemungkinan besar akan berlaku lagi.

Kerajaan Pulau Pinang akan melaksanakan mesyuarat yang dihadiri pegawai tinggi untuk mengambil langkah segera hari ini.


Nelayan, Roland Khoo, berkata punca pendapatannya teruk terjejas.

Roland Khoo, jurucakap bagi nelayan perairan pantai di Tanjung Bungah, berkata, kejadian itu menjejaskan punca pendapatan lebih kurang 100 nelayan di Tanjung Tokong dan Tanjung Bungah.

Katanya, mereka sebelum ini dapat menangkap ikan senangin, bawal, udang dan ketam bunga setiap hari. Tetapi disebabkan air “teh tarik” itu, ikan-ikan sudah lari dari kawasan perairan tepi pantai.

“Saya rasa ikan juga tahu air ‘teh tarik’ ini tidak baik. Untuk kami pula, apabila lihat air sebegini, kami terpaksa pergi lebih jauh. Tetapi apabila pergi semakin jauh, ikan masih tiada.



“Bot kami juga menjadi kotor dan terpaksa membasuhnya dengan lama. Kami membazi diesel kerana terpaksa membawa bot ke kawasan lebih jauh.

“Saya berharap pihak berkuasa tempatan akan membantu membersihkan sungai itu dan perairan tepi pantai agar kami boleh menangkap ikan. Perkara ini sangat menjejaskan punca pendapatan kami,” kata Khoo.

Situasi diramal semakin buruk

Pada Jumaat lalu, MBPP menerbangkan dron berkamera untuk melihat kawasan yang terjejas itu sebagai sebahagian daripada usaha peninjauannya.

Seorang jurutera geoteknikal dari pihak MBPP berkata tanah runtuh itu kemungkinan besar disebabkan oleh tekanan air susulan hujan lebat di kawasan tanah tinggi itu.

Jurutera itu berkata kejadian “teh tarik” di Sungai Kelian itu disebabkan tanah runtuh yang berlaku di kawasan 250m atas paras laut, betul-betul bersebelahan sumber asal sungai itu.




Air sungai berlumpur di muara Sungai Kelian mengalir ke lauatan di perairan pantai di Tanjung Bungah. (Gambar ihsan Andrew Han)

“Kami menganggarkan bahagian yang runtuh itu berketinggian 40m dan berkelebaran 20m. Kami mencadangkan pemulihan segera terhadap bahagian yang runtuh itu kerana kami jangka ia akan runtuh lagi,” kata jurutera itu.
Bahagian yang runtuh itu di embah antara Bukit Lang dan Bukit Batu Ferringhi, iaitu sebahagian daripada banjaran Bukit Bendera yang menjadi tulang belakang pulau itu.
Gambar diambil oleh dron MBPP juga menunjukkan air berlumpur itu mengalir ke tempat masuk loji rawatan air.
Bagaimanapun, sebagai tindakan segera, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang berkata tempat masuk air itu sudah tidak digunakan sejak 1999, selepas Empangan Teluk Bahang dibina.
Pakar sains tanah Dr Kam Suan Pheng berkata banjaran Bukit Bendera secara umumnya, tidak kuat dari ekologi.

Gambar dekat bagi bahagian yang runtuh, 250m atas paras laut. Kawasan yang runtuh itu dianggarkan berketinggian 40m dan berkelebaran 20m, tetapi tanah runtuh dijangka berlaku lagi. (Gambar ihsan Majlis Bandaraya Pulau Pinang)
“Berdasarkan gambar yang saya sudah lihat, tanah runtuh terbaru ini nampaknya seperti satu kejadian semula jadi, bukan buatan manusia seperti tanah runtuh Tanjung Bungah yang berlaku dulu. Ini dipanggil ‘parut runtuhan’,” katanya semasa dihubungi, sambil merujuk kepada kejadian 21 Oktober di mana 11 pekerja pembinaan menjadi mangsa tanah runtuh.
“Sukar untuk mengatakan jika kejadian seperti ini akan berlaku lagi, tetapi kita perlu lakukan kajian geoteknikal ke atas bukit-bukit kita dengan segera untuk mengesan risiko.”
Presiden Persatuan Penduduk Tanjung Bungah, Meenakshi Raman berkata kerajaan negeri harus ambil tindakan segera bagi mencegah kejadian tidak diingini dalam masa terdekat.
“Kami harap MBPP akan menyiasat perkara ini dan memberitahu kami maklumat terkini.”
Apabila dihubungi, exco negeri Zairil Khir Johari berkata kerajaan negeri sangat bimbang tentang perkara itu dan sedang melaksanakan siasatan.
“Ia satu kejadian semulajadi yang malang. Ia berlaku di tengah-tengah rizab hutan, jauh daripada sebarang pembangunan. Kawasan itu juga tiada akses.
“Kami mahu memastikan semuanya selamat dan kami sedang mendapatkan pendapat dari pakar kejuruteraan berhubung perkara ini.”


Kredit : FMT
 
Copyright © 2014 PenangKini.