BREAKING NEWS

Wednesday, 2 May 2018

Zahid ramal Dr M ke hospital sebelum 9 Mei untuk cari simpati

BAGAN DATUK: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi berkata pembangkang merancang untuk memasukkan Tun Dr Mahathir Mohamad ke hospital sebelum hari pengundian 9 Mei ini dalam usaha meraih undi simpati.

Zahid itu itu merupakan strategi mengejut saat akhir pembangkang, dan berkata ia akan dilaksanakan oleh Dr Mahathir seperti mana dakwaan pesawatnya disabotaj.

“Ia (dakwaan) dibuat kerana (Dr Mahathir) mahu menagih simpati sehari sebelum penamaan calon yang kononnya kejadian itu berlaku bagi menghilangkan kelayakan beliau untuk bertanding di Parlimen Langkawi.

“Kita kenal beliau kerana kita pernah berketuakan beliau. Strategi dan taktik itu mungkin berubah tetapi ‘template’ atau acuannya sama sahaja untuk mengelirukan pengundi, memperoleh simpati dan menyalahkan orang lain, walaupun kelemahan itu dilakukan oleh pihak beliau,” katanya selepas menghadiri program di Kampung Pasang Api di sini, hari ini.


Zahid meminta para pengundi agar tidak terjebak dengan taktik dan dakyah terdesak pembangkang dalam usaha meraih simpati.

Mengenai dakwaan pesawat disabotaj, beliau berkata Dr Mahathir boleh meminta sebuah badan bebas atau syarikat antarabangsa lain untuk melihat laporan dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sekiranya tidak berpuas hati.

“Saya fikir Datuk Seri Azharuddin A.Rahman (Pengerusi CAAM) tidak menyorokkan fakta. Beliau tidak terlibat dengan mana-mana pihak dan bertindak secara profesional. Jadi Dr Mahathir harus menerima penjelasan pihak berwibawa, ertinya beliau harus meyakini dengan sistem yang beliau sendiri pernah wujudkan dahulu,” katanya.

Sabtu lepas, Azharuddin menolak dakwaan sabotaj terhadap pesawat yang sepatutnya menerbangkan Dr Mahathir dari Subang ke Langkawi.

Menurut Azharuddin pesawat jenis Bombardier Challenger CL60 yang dikendalikan oleh Vista Jet Limited tidak dapat diterbangkan ekoran masalah teknikal yang kecil dan rutin iaitu kebocoran udara di roda kiri pada muncung pesawat.



 
Copyright © 2014 PenangKini.