BREAKING NEWS

Friday, 8 June 2018

Ringgit bulan Mei susut 1.4%

KUALA LUMPUR 7 Jun - Ringgit menyusut 1.4 pe­ratus kepada RM3.9798 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sepanjang Mei dipengaruhi faktor luaran dan dalaman terutama kejutan da­­lam keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua Ekonomi dan Ketua Penyelidikan Ambank, Dr. Anthony Dass berkata, mata wang tempatan itu sememangnya sebelum ini terdedah kepada turun naik disebabkan beberapa faktor dan keadaan itu diburukkan dengan perubahan dasar secara drastik di peringkat domestik.


Katanya, dalam masa sama, pengukuhan dolar AS turut memberi kesan kepada kelemahan ringgit pada tempoh tersebut.

“Ketidaktentuan dalam pasaran domestik menyaksikan alir­an keluar asing berjumlah RM5.6 bilion dalam pasaran saham tempatan manakala sekuriti kerajaan Malaysia (MGS) bagi tiga, lima, tujuh dan 10 tahun meningkat 7.7 mata asas (bps) kepada 3.722 peratus, 3.1 bps kepada 3.807 peratus, 6.5 bps kepada 4.019 peratus dan 6.3 bps kepada 4.187 peratus.

“Kami menjangkakan keti­daktentuan akan berterusan pada bulan ini dengan fokus kepada mesyuarat Rizab Persekutuan AS yang akan menaikkan kadar faedah pada 25 bps dan cadangan sama ada berlaku tiga atau empat kenaikan kadar itu tahun ini. Selain itu, hasil pertemuan antara Korea Utara dan AS juga terus mempengaruhi kea­da­an tidak menentu ini,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Bagaimanapun, menurut la­poran Bloomberg, peletakan jawatan Tan Sri Muhammad Ibrahim sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) akan menambah ketidaktentuan da­lam ekonomi negara selepas menyaksikan perubahan kerajaan pada 9 Mei lalu.

Namun, peniaga masih me­nunggu beberapa perubahan yang membawa kepada risiko global pada minggu depan termasuk semakan semula dasar monetari oleh bank pusat utama dan pertemuan AS dan Korea Utara. Ia juga termasuklah peng­umuman pelantikan gabenor yang baharu.

Pakar Strategi Pelaburan Cre­dit Suisse di Singapura, Julian Wee berkata, peletakan jawatan Tan Sri Muhammad Ibrahim sebagai Gabenor BNM tidak mendatangkan kesan keta­ra kepada pasaran kewangan.

“Ia hanya sebahagian daripada langkah pembaharuan yang dilaksanakan kerajaan baharu. Jadi, tidak ada sebab untuk mengharapkan sebarang per­ubahan dalam jangka masa terdekat dengan mengambil kira kedudukan dasar secara keseluruhan,” katanya.

Sementara itu, penganalisis pasaran saham, Nazarry Rosli berkata, pasaran tidak memberi banyak reaksi negatif kepada perkara tersebut memandangkan bakal penggantinya adalah individu dari BNM yang mempunyai pengalaman luas.

“Ini dijangka memberi kesi­nambungan dari segi dasar-dasar dan tadbir urus. Selain itu, dasar-dasar BNM juga dijangka terus kekal,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Setakat pagi ini, ringgit tidak berubah berbanding dolar AS ketika para penggiat pasaran masih menunggu petunjuk daripada pihak berkuasa mengenai pengganti Muhammad.

Pada 9.27 pagi ini, ringgit berada pada RM3.9720 berbanding dolar AS, menyamai paras sewaktu ditutup semalam.

Ringgit ditutup pada paras RM3.9770 berbanding dolar AS bagi sesi dagangan hari ini.

Semalam, kerajaan telah menerima peletakan jawatan Muhammad berkuat kuasa 6 Jun 2018. Bagaimanapun, pengganti beliau masih belum dinamakan dengan bekas Timbalan Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus disebut-sebut sebagai calon pilihan untuk menerajui bank pusat itu. UTUSAN
 
Copyright © 2014 PenangKini.