BREAKING NEWS

Monday, 11 June 2018

Yayasan Al Nasmir teruskan tradisi


BUKIT MERTAJAM - Nasmir Holding Sdn Bhd menerusi Yayasan Al Nasmir menceriakan kehadiran Aidilfitri 100 kanak-kanak dalam program bantuan hari raya yang diadakan di Pusat Membeli-Belah Mydin, di sini pagi semalam.

Pengarah Urusannya, Datuk Kadhar Shah Abdul Razak berkata, kesemua mereka yang terdiri daripada golongan anak yatim, miskin dan orang kurang upaya (OKU) menerima sepersalinan baju baharu yang boleh dipilih mengikut cita rasa sendiri.

 Menurutnya, program tahunan yang diadakan itu adalah salah satu tanggungjawab sosial syarikat kepada masyarakat selain meraikan mereka yang memerlukan.

 “Kesemua penerima dipilih daripada beberapa pusat kebajikan di sekitar Bukit Mertajam, Batu Kawan, Permatang Pauh dan esok kita akan bawa lagi 50 lagi anak yatim dari Kulim, Kedah untuk membeli kelengkapan raya mereka.

 “Program ini diadakan bagi membantu meringankan beban keluarga terlibat memandangkan pembelian kelengkapan hari raya memerlukan perbelanjaan besar,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

 Kadhar Shah berkata, sebelum ini pihaknya turut membantu 100 pelajar Maahad Al Arkan Li Tahfiz al-Quran yang kebanyakannya daripada kalangan etnik Rohingya menerima sumbangan jubah dan serban.

 Malah pihaknya turut menyalurkan bantuan kepada 350 keluarga dan 150 pelajar tahfiz di sebuah perkampungan di Kemboja. “Kita berharap sumbangan diberikan ini akan meringankan beban mereka selain menceriakan sambutan Aidilfitri yang akan diraikan tidak lama lagi,” katanya.

 Sementara itu, penerima sumbangan, Zuraidah Yaakob, 37, dari Bukit Minyak melahirkan rasa syukur atas sumbangan yang diterima anaknya, Mohd Faiz Imran Fadzila, 10 yang menghidap penyakit epilepsi. “Alhamdulillah, sumbangan yang diberikan ini dapat meringankan beban saya yang mempunyai tiga anak,” katanya.

 Bagi seorang guru Pusat Dalam Komuniti Taman Bukit Minyak, Maswati Bahari berkata, dia membawa tujuh pelajarnya yang kebanyakan OKU terlantar untuk mendapatkan pakaian raya.

 “Terima kasih kepada Yayasan Al Nasmir kerana prihatin dengan nasib anak-anak di sekolah ini. Sudah pasti baju baharu yang diterima ini akan membuatkan Aidilfitri mereka lebih bermakna,” katanya. - -SumbeR
 
Copyright © 2014 PenangKini.