BREAKING NEWS

Sunday, 15 July 2018

Polis bantuan selamatkan wanita terjun jambatan terima pingat Gagah Perwira



GEORGE TOWN - Keberanian seorang anggota  polis bantuan untuk  terjun ke dalam laut dari Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah bagi menyelamatkan  seorang wanita April lalu mendapatkan pengiktirafan apabila hari ini  menerima Pingat Gagah Perwira daripada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas

Konstabel Zaidi Salleh, 52, seorang polis bantuan syarikat Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) merupakan individu pertama yang menerima pingat itu setelah lebih 10 tahun ia tidak dianugerahkan kerana tiada individu yang layak.

"Pengorbanan saya sangat sedikit namun disanjung tinggi, saya begitu berterima kasih dan terhutang budi kepada seluruh rakyat Malaysia dan media  yang berikan sokongan kepada saya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena Hari Ulang Tahun ke-80 Abdul Rahman di sini hari ini.

Bapa  kepada tiga orang anak itu berkata  keberaniannya untuk terjun ke dalam  laut untuk menyelamatkan wanita itu merupakan hasil daripada latihan ketika beliau berkhidmat sebagai anggota Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM)  selama 25 tahun.

"Terima kasih buat TUDM yang telah memberi latihan kepada saya, sehingga kini saya bawa ilmu itu. Saya juga dedikasikan pingat ini kepada Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan seluruh warga TUDM yang memberikan sokongan dan semangat kepada saya," katanya.

Zaidi berkata beliau telah mula berkhidmat dengan TUDM pada tahun 1987 sebelum bersara dan menyertai polis bantuan JKSB pada tahun 2013.
Sebelum ini, Zaidi juga pernah diberi pengiktirafan oleh kerajaan Pulau Pinang, Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). - Bernama
 
Copyright © 2014 PenangKini.