BREAKING NEWS

Thursday, 16 August 2018

Padah sepak kucing tidak tentu pasal

Remaja perempuan tendang kucing dihukum bon berkelakuan baik setahun

SEBERANG PERAI - Seorang remaja perempuan bawah umur dikenakan bon berkelakuan baik selama setahun oleh Mahkamah Majistret Butterworth di sini sebentar tadi atas pertuduhan menendang seekor kucing pada Mac lalu.

Tertuduh berusia 16 tahun itu membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Che Rohana Ismail.

Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa tanpa sebab yang munasabah telah menendang seekor kucing kira-kira pukul 1 petang pada 4 Mac 2018.

Kesalahan itu, didakwa dilakukan di belakang kedai perabut, Lorong Seri Menerong 4, Taman Seri Menerong, Tasek Gelugor di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Binatang 1953 (semakan 2006) (Akta 647), namun dikenakan hukuman mengikut Seksyen 91(1)(b) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 601) kerana masih di bawah umur.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Mohd. Zamri Shak@Ishak. -Kosmo Online

Difahamkan tindakan remaja berkenaan telah dirakam sebelum dimuat naik ke laman sosial dan menjadi tular.
 
Copyright © 2014 PenangKini.