Melalui serbuan yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, JSJN negeri serta Sekretariat Nukleus Narkotik (SNN) Kedah itu, polis turut menahan empat orang suspek dipercayai anggota sindiket dadah tersebut.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Kang Chez Chiang berkata, dua daripada suspek positif dadah jenis syabu manakala kesemua mereka mempunyai rekod lampau termasuk berkaitan dadah.
“Pada masa sama, polis turut menyita tiga buah kenderaan iaitu sebuah Volkwagen Golf, sebuah Proton Waja dan sebuah Proton Wira selain wang tunai RM20,000, pelbagai barangan kemas serta seutas jam tangan daripada suspek.
“Semua yang ditangkap kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga Isnin ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Difahamkan sebuan tersebut dijalankan di empat lokasi berasingan iaitu Bayan Baru, Georgetown, Gelugor dan Jelutong di sini, dengan dua daripada lokasi serbuan didapati kosong.
Dalam pada itu, nilai rampasan tersebut juga dipercayai yang terbesar untuk tempoh lapan bulan pertama tahun ini dan dadah berkenaan diseludup masuk melalui sempadan negara untuk pasaran tempatan dan antarabangsa. - UTUSAN ONLINE