BREAKING NEWS

Monday, 24 September 2018

'Bunuh ibu, humban dalam tangki najis'



MISTERI kehilangan seorang wanita sejak 19 September lalu terjawab selepas mayatnya ditemui di dalam tangki najis belakang rumahnya di Sungai Burung, Balik Pulau, hari ini.

Mangsa Faridah Mat Hashim, 63, dipercayai dibunuh anak kandungnya pada Rabu lalu sebelum mayat wanita malang berkenaan disembunyikan di dalam tangki najis rumah mereka.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan A A Anbalagan berkata, mayat mangsa yang tenggelam di dalam tangki sedalam 1.2 meter itu ditemui menantunya pada 2 petang sebelum menghubungi polis.

“Polis dengan bantuan pihak bomba berjaya mengeluarkan mayat mangsa dan mengesan satu kesan kelar di bahagian hadapan lehernya, selain turut menemui pisau di dalam tangki itu.

“Siasatan awal polis percaya mangsa dibunuh anak lelakinya berusia 29 tahun selepas dia kini didapati menghilangkan diri sejak kehilangan ibunya.

“Satu laporan polis dibuat pada Jumaat lalu memaklumkan kehilangan mangsa sebelum mayatnya ditemui hari ini,” katanya.

Menurutnya, suspek kini diburu polis dan dia turut mempunyai rekod jenayah membabitkan kes mencederakan saudaranya sendiri.

Katanya, rumah itu didiami suspek bersama ibunya dan seorang adik perempuannya.

“Adik suspek memberitahu polis bahawa dia ada melihat ibunya menunaikan solat Subuh pada pagi 19 September itu sebelum hilang sejak itu sehingga mayatnya ditemui, hari ini.

“Suspek dipercayai suka berkhayal dengan menghidu petrol. Lelaki itu kini diburu polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. -Harian Metro
 
Copyright © 2014 PenangKini.