BREAKING NEWS

Monday, 15 October 2018

Wanita diselamatkan ketika mahu terjun Jambatan Pulau Pinang

GEORGETOWN - Seorang wanita berjaya diselamatkan selepas dipercayai mahu terjun dari Jambatan Pulau Pinang malam tadi.

 Lebih menyayat hati, dia yang memandu sebuah Proton Exora itu meninggalkan empat anaknya di dalam kenderaan itu ketika kejadian. Jurucakap bomba berkata, wanita berusia 35 tahun itu didapati berada dalam keadaan tekanan dan kurang waras ketika diselamatkan.

 Menurutnya, dia dipujuk oleh anggota peronda Plus dan polis bantuan yang berada di tempat kejadian namun gagal. "Bagaimanapun, ketika bomba tiba di tempat kejadian, wanita yang berada dalam keadaan tidak terurus itu terus lari masuk ke keretanya.

Dia cuba melarikan diri bersama empat orang anaknya itu. "Namun berjaya dipujuk dan ditenangkan. Dia kemudiannya dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut manakala kesemua anaknya dibawa oleh pihak polis, juga ke balai polis," katanya. 

Menurutnya, kejadian berlaku di Kilometer 1.0 Jambatan Pulau Pinang dari Perai menghala ke bahagian pulau, pada jam 12.40 tengah malam tadi. "Dari maklumat awam, wanita itu memberhentikan keretanya di kawasan tersebut dalam keadaan mencurigakan. Dia didapati keluar dari keretanya dan berdiri berhampiran pembahagi jalan manakala empat anaknya berada di dalam kereta.

 "Dipercayai, wanita itu berada dalam keadaan kurang waras dan tekanan kerana masalah keluarga," katanya. Operasi menyelamat tamat pada jam 1.34 pagi.- Sinar Harian
 
Copyright © 2014 PenangKini.