BREAKING NEWS

Sunday, 11 November 2018

Tentera wanita Malaysia 🇲🇾 Guna jari tarik MPV

MENARIK kenderaan pelbagai guna (MPV) hanya dengan menggunakan jari. Itu aksi luar biasa yang dipamerkan seorang tentera wanita dalam program yang dianjurkan di Padang Kota Lama, Georgetown, hari ini.

Aksi Prebet E Sasheladevi, 27, menarik perhatian ramai pengunjung apabila dia dengan hanya menggunakan jari telunjuk menarik Toyota Alphard sejauh 70.2 meter selama 1.25 minit.

Keupayaannya itu sekali gus membolehkan dia mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Sasheladevi berkata, dia yang dahulunya atlet angkat berat sejak berusia 14 tahun menggunakan kekuatan yang ada pada dirinya untuk melakukan perkara yang sukar daripada kemampuan manusia biasa.

ADVERTISING

"Untuk mencipta rekod ini, saya mengambil masa selama lima bulan berlatih dan berasa sangat lega kerana akhirnya berjaya merealisasikannya.

"Saya sangat gembira dan teruja kerana kejayaan ini akan menjadi pembakar semangat untuk saya mencipta rekod lain pada masa akan datang," katanya ketika ditemui di Georgetown, hari ini.

Jelasnya, kejayaannya itu juga adalah hasil daripada tunjuk ajar dan sokongan daripada jurulatihnya yang banyak mengatur dan melatih dirinya.

"Saya juga terkejut kerana pada awalnya saya hanya mahu menarik sejauh 51 meter tetapi dengan sokongan yang diberikan saya mampu menarik lebih daripada sasaran," katanya.

Difahamkan, Shasheladavi ketika berusia 17 tahun pernah mengejutkan negara dengan rekod mengangkat berat menggunakan dua jari.

Pada ketika itu dia mengangkat bebanan mencecah 41 kilogram (kg) dalam masa hanya empat saat.

Menurut anak tempatan Pulau Mutiara yang berasal dari Bukit Mertajam, dia yang juga atlit angkat berat negara menjalani latihan di Kolej Pegawai Tidak Tauliah, Port Dickson, Negeri Sembilan di samping menjalankan tanggungjawabnya sebagai anggota tentera.

Sementara itu, Exco Belia dan Sukan Pulau Pinang, Soon Lip Chee, berkata pencapaian itu menjadi kebanggaan seluruh penduduk di negeri ini berikutan tiada lagi rekod seperti itu dicipta mahupun dari golongan lelaki.

"Saya berharap keupayaan dan bakat luar biasanya itu dapat mencipta rekod di peringkat antarabangsa tidak lama lagi," katanya.-Berita Harian

 
Copyright © 2014 PenangKini.