Monday, 28 March 2016

'Biar DAP tahu bagaimana rasa dihina, dimaki'


GEORGETOWN - Ahli DAP diminta supaya tenang menghadapi krisis apabila pemimpin mereka kini menjadi tumpuan berikutan isu pembelian rumah banglo Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

 Pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, kini tiba masanya ahli DAP merasai sendiri bagaimana pemimpin kesayangan mereka dihina dan dicerca. Menurutnya, selama ini, Umno dan BN tetap teguh menghadapi fitnah, cercaan dan serangan terhadap pemimpinnya terutamanya Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

 "Kini tiba masanya ahli DAP pula menghadapi keadaan ini iaitu pemimpin mereka diserang dengan pelbagai cara termasuk dihina, dicerca dan dimaki. Biar mereka rasa bagaimana peritnya apabila pemimpin yang mereka disanjung dihentam teruk.

 "Dengan isu ini juga, saya harap agar pemimpin DAP berhenti daripada menyalahkan orang lain terutamanya Umno dan BN. Apa sahaja isu, pasti Umno atau BN menjadi sasaran. Adakah isu pembelian rumah ini di bawah harga pasaran juga salah Umno?" katanya kepada media, hari ini.

 Terdahulu, Guan Eng mendakwa tuduhan berkaitan rasuah oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya di Dewan Rakyat tidak berasas apabila mengaitkan pembelian banglo itu dengan tanah kerajaan negeri di Taman Manggis yang dijual pada 2012 kepada pemaju swasta untuk bina hospital swasta dan hotel.

 Menurutnya, tiada apa yang akan disembunyikannya berhubung pembelian banglo bernilai RM2.8 juta itu dan beliau mahu mendengar sendiri apa fakta yang mendorong Shabudin membuat tuduhan sedemikian.-SH

No comments:

Post a comment