Friday, 8 April 2016

LGE dan DAP perlu jelaskan polisi terhadap syarikat RFP - Zainal Abidin


Kerajaan DAP Pulau Pinang didesak mendedahkan kepada rakyat mengenai polisi yang digunapakai Ketua Menteri, Lim Guan Eng terhadap syarikat-syarikat yang dimohon ‘Permintaan Cadangan’ (RFP) dan syarat-syarat yang disenaraikan kepada mereka.

Ini kerana, tiga daripada empat syarikat yang menyerahkan permohonan melalui proses RFP bagi bidaan pembangunan tanah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Taman Manggis yang mencetuskan kontroversi kerana berkait dengan skandal pembelian banglo harga lelong oleh Setiausaha Agung DAP itu didapati syarikat yang bermasalah.

 Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, rakyat berhak mengetahui apakah syarat atau dasar kerajaan negeri kepada syarikat yang memohon sehingga membolehkan syarikat mempunyai masalah juga berpeluang untuk memohon.

 “Saya difahamkan tiga syarikat yang menghadapi masalah seperti kerugian dalam penyata kewangan, baru berdaftar dua hari sebelum ini dan tiada pekerja juga menyerahkan permohonan mereka untuk tanah di Taman Manggis.

“Jadi saya meminta kerajaan negeri menjelaskan kepada rakyat Pulau Pinang apakah polisi kerajaan negeri untuk membuat RFP dan syarat mereka kepada pemohon,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang (MTPNPP) di Georgetown, Khamis.

 Ini kerana, semua projek kerajaan Persekutuan di Pulau Pinang katanya, telah melalui proses tender, sama ada tender terbuka atau tender terhad mengikut Pekeliling Perbendaharaan dan Kaedah Perolehan Kerajaan.

Semua projek RFP di bawah kerajaan Persekutuan pula katanya, turut mengenakan syarat ketat iaitu hanya syarikat yang mempunyai kepakaran, struktur kewangan syarikat kukuh dan rekod kerja terbaik sahaja.

 “Mereka (kerajaan negeri) boleh belajar daripada kerajaan Persekutuan bagaimana untuk melakukan tender terbuka dan juga tender terhad sekiranya mereka masih belum mempunyai pengetahuan dalam hal-hal itu,” katanya.

 Isu skandal penjualan dan penukaran status tanah PPRT Taman Manggis ini terus kecoh diperkatakan tambahan pula bilamana Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Setiausaha Agung Parti Gerakan, Datuk Liang Teck Meng pada Selasa mendedahkan bahawa tanah yang dijual kerajaan DAP Pulau Pinang dengan nilai RM11 juta kepada KLIDC sudah dijual pula melalui penukaran saham kepada syarikat ketiga dengan nilai RM70.6 juta tanpa sebarang pembinaan dilakukan.

No comments:

Post a comment