Monday, 9 May 2016

Adakah Datuk Aliff Syukri terlajak laris mahu Hilang RM 100 Juta


1. Saya tertarik sangat dengan tawaran RM100 juta yang ditawarkan Pengasas D’Herbs, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman, kepada sesiapa saja yang dapat membuktikan beliau menagih tanah Kedah untuk kepentingan diri dan syarikatnya. Bukanlah bermata duitan, namun beliau perlu hati-hati dengan tawaran tersebut. Bimbang juga jika ada yang bisa membuktikannya.
2. Satu sen pun belum KFA terima, tapi D’Herbs dan Aliff Syukri sudah dapat publisiti percuma. Mulanya dulu katanya ‘tanpa syarat’. Kemudian tidak jadi taja, kononnya kerana Kedah bertukar MB. Tapi kemudiannya 3 pertemuan diadakan dengan KFA berbincang tentang terma tajaan.
3. Saya difahamkan KFA tidak pernah menawarkan sebarang projek usahasama yang tiada kaitan dengan bola sepak Kedah dengan pihak D’Herbs. Namun Aliff Syukri dalam sidang media baru-baru ini mendakwa beliau ditawar membangunkan sebidang tanah.
4. Kenyataan itu membuat saya tertanya, siapa yang tawarkan tanah tersebut pada Aliff Syukri. Yang pastinya bukan KFA kerana bidang tanah itu bukan milik KFA. Aliff Syukri perlu tanya soalan tersebut pada dirinya sendiri dan jawab seikhlas hati.
5. Jika dikatakan ia ditawar oleh wakil atau syarikat perunding yang mewakili KFA, tapi tanpa pengetahuan pihak KFA sendiri, maka mungkin Aliff Syukri telah tertipu oleh pihak tertentu. KFA tidak pernah tawar tanah atau projek di luar bidang kuasanya.
6. Apa motif Aliff Syukri sebenarnya dengan mendakwa MB Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menipu, memalukan dan memfitnah dirinya? Kerana isu tanah yang dicadang untuk projek usahasama itu?

7. Adalah menjadi tanggungjawab Ahmad Bashah selaku MB untuk melindungi kepentingan negeri Kedah dari dimanipulasi pihak tertentu. Pihak tertentu itu tidak semestinya Aliff Syukri, namun mungkin pihak lain yang cuba mengambil kesempatan.
8. Pendapat saya, jika Aliff Syukri mahu melabur dalam sektor hartanah, property development atau perniagaan strategik, adalah lebih wajar beliau bawa proposal itu kepada Kerajaan Negeri Kedah atau Exco berkaitan. Tapi bukan kepada KFA.
9. Namun jika Aliff Syukri benar-benar berhasrat untuk membangunkan bola sepak Kedah, maka mungkin boleh dicadangkan kepada KFA tentang proposal dan perancangan strategik seperti perencanaan pembangunan bola sepak JDT. Ia tidak membabitkan tentang tanah milik kerajaan negeri atau GLC Kedah, dan ia perlu berkait dengan soal bola saja.
10. Saya yakin, KFA boleh penuhi syarat D’Herbs jika syarat tajaannya sama standard termanya seperti Standard Chartered menaja Liverpool. Sangat gentleman dan benar-benar dalam situasi ‘menang-menang’. Publisiti pun dapat, Liverpool pun puas hati. Khabarnya tidak banyak jumlah Liverpool ditaja, cuma £30 juta pound sterling sahaja.
11. Sebelum ini saya pernah melihat beberapa bentuk iklan D’Herbs yang dikatakan ‘terlajak melampau’ paparan promosinya. Saya bimbang juga iklan-iklan ‘terlajak melampau’ sebegitu akan memenuhi ibu negeri dan semua daerah di negeri kami.
12. Khabarnya mahukan bilik VIP khas mengadap padang, suite DiRaja? Bagaikan setaraf dengan Sultan Kedah dan Jemaah Pemangku Sultan pula? Siapa yang cadangkan pada Aliff Syukri untuk meminta sesuatu yang ‘terlajak melampau’ sebegitu?
13. Selaku die hard fan Liverpool, belum pernah lagi seumur hidup saya mendengar Ian Rush atau Kenny Daglish jerit perkataan ‘Carlsberg’ setiap kali menjaringkan gol untuk Liverpool. Hazard pula tidak pernah jerit ‘Samsung’ setiap kali jaringkan gol. Cuma tulisan Standard Chartered dan Samsung terpampang di jersi mereka ketika meraikan gol menerusi lensa siaran langsung. Itulah etika tajaan sebenar.
14. Saya difahamkan DHerbs mahukan pengecualian cukai 100% dari jumlah tajaan? Teori dasar fiskal dari manakah idea ini diperolehi? KFA boleh luluskan pengecualian cukai? Jawatan Ahmad Bashah dalam urusan ini adalah sebagai Presiden KFA dan bukan MB Kedah. DHerbs perlu tahu perbezaan kuasa bagi kedua jawatan tersebut walau disandang oleh pemimpin yang sama.
15. Saya melihat syarat-syarat ‘terlampau’ dari Abang Terlajak Laris seperti yang disebut umum itu adalah suatu yang bersifat ‘terlajak taja’. Begitu juga dengan tawaran RM100 juta itu, bagaikan ‘terlajak tawar’. Mungkin itulah jadinya bila serba-serbinya ‘terlajak’.
16. Berdasarkan beberapa syarat yang Aliff Syukri sendiri dedahkan dan beberapa fakta benar yang saya ketahui, tindakan KFA adalah tepat untuk menolak 49 syarat cadangan yang dikemukakan Dherbs secara keseluruhan.
17. Kadang-kadang, kita harus akui wang itu bukanlah segala-galanya. Ia tidak dapat membeli kepentingan rakyat Kedah. ‘Manipulasi’ pula perlu dikekang dari mengancam kepentingan rakyat dari tergadai demi kepentingan pihak tertentu.Berbeza pula dengan Aliff saya kira, pertimbangan beliau adalah wang, Difahamkan ketika segala sidang media yg dibuat oleh pihak dherbs tentang isu tajaan ini jualan produknya telah meningkat berkali ganda Inilah strategi dan agendanya!!!
18. Saya positif mengatakan mungkin Aliff Syukri telah dimanipulasi pihak tertentu yang kemudian menjadikan Ahmad Bashah sebagai mangsa keadaan bagi mereka yang teruja dengan kehadiran Abang Terlajak Laris di Stadium Darul Aman.
19. Namun begitu, semua pihak juga perlu sedar bahawa kepentingan negeri Kedah adalah menjadi keutamaan Ahmad Bashah yang perlu dipelihara sebagai amanah yang wajib dijunjung. Itulah ertinya tanggungjawab. Bukan sekadar setuju tandatangan sahaja, tapi tergamak menggadai kepentingan rakyat untuk keuntungan berat sebelah yang merugikan negeri.
20. Saya sedar bahawa Ahmad Bashah ditohmah begitu hebat sekali tentang isu ini. Namun saya yakin bahawa beliau akan lebih teruk dikutuk dan dihentam jika KFA bersetuju dengan 49 syarat ‘pelik’ yang dikemukakan itu.
21. Buat Aliff Syukri, buang yang keruh, ambillah yang jernih. Berlapang dada dan cubalah bermuhasabah. Ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Jika benar ikhlas, saya yakin Allah akan buka jalan seluasnya buat Aliff Syukri untuk berbakti di negeri kami. Harapnya, biarlah berpadanan dan tidak lagi ‘terlajak’ seperti sebelum ini.
22. Buat masa ini, anggap saja kita ‘tiada jodoh’. Namun jika berhajat, masuklah ‘meminang’ dengan ‘adab dan adat’ yang betul. InshaAllah, segalanya akan dipermudahkan.
Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar,Kedah.

No comments:

Post a Comment