Saturday, 21 May 2016

Kontroversi terowong dasar laut, Guan Eng main ‘silap mata’


Lim Guan Eng yang semakin tertekan ekoran penentangan berterusan termasuk daripada wakil rakyat DAP berhubung pembinaan Terowong Dasar Laut menghubungi Bagan Ajam dan Persiaran Gurney kini cuba menunding jari kepada Kerajaan Persekutuan.

Ketua Menteri Pulau Pinang dalam ucapan penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini, berkata kerajaan negeri tiada pilihan selain membina terowong itu kerana pembinaan jambatan di antara bahagian Pulau dan Seberang memerlukan kebenaran Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya disebabkan kerajaan negeri tidak dapat membina Jambatan ke-3 antara Bagan Ajam dan Persiaran Gurney, maka terpaksa membina terowong dasar laut atas alasan bagi mengatasi kesesakan.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, kerajaan Pulau Pinang sanggup membatalkan cadangan projek terowong dasar laut jika Kerajaan Persekutuan benarkan jambatan ke-3 dibina.

“Sekiranya mendapat kelulusan daripada kerajaan Pusat, kerajaan negeri akan membina jambatan ketiga dan bersedia menimbang untuk tidak mengenakan sebarang tol kepada pengguna,” katanya.

Guan Eng bagaimanapun tidak menjawab soalan Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid yang meminta penjelasan sama ada Kerajaan Pulau Pinang telah membuat permohonan daripada Kerajaan Persekutuan untuk membina jambatan ketiga itu.

Bagaimanapun, penafikan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof bahawa kerajaan Persekutuan menolak permohonan atau memberi kesukaran kepada kerajaan negeri untuk membina jambatan ketiga Pulau Pinang memberi gambaran bahawa Guan Eng hanya memberi alasan itu bagi melepaskan dirinya.

Fadillah dalam kenyataan malam ini berkata, pihaknya telah membuat penelitian dan mendapati tiada permohonan seumpama itu mahupun perbincangan dengan kementerian bagi membina jambatan tersebut.

“Selain itu, tiada sebarang rekod mengenai permohonan atau perbincangan mengenai projek terowong dasar laut Pulau Pinang di mana ia turut memerlukan kelulusan daripada kementerian saya sebelum ia dibina atau dibuka kepada laluan trafik.

“Mungkin pihak Ketua Menteri dapat memberi penjelasan bila permohonan itu dibuat dan bila kementerian menolak permohonan mereka untuk membina jambatan ketiga Pulau Pinang,” katanya.

Fadillah berkata pihaknya amat berharap kerajaan Pulau Pinang mengendalikan masalah politik dalaman antara gabungan Pakatan Harapan atau skandal dan tidak cuba mempergunakan kerajaan Persekutuan sebagai helah dan menyelamatkan diri.

Tentu selepas ini, rakyat menuntut jawapan sebenar Guan Eng berhubung isu pembinaan terowong dasar laut dan kenapa setelah kerajaan negeri bersedia membayar sebuah syrikat melalui tanah milik kerajaan negeri bernilai RM305 juta, beliau membangkitkan kesediaan membatalkan projek itu dan membina jambatan pula.

Silap mata apa pula dimainkan Guan Eng kali ini?.

Atau mungkin kenyataan terbaru ini selepas menyedari pendedahan oleh Pengarah Strategi Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Rahman Dahlan mengenai kos kajian dan pembinaan terowong itu baru-baru ini ada kebenarannya.

No comments:

Post a comment