Saturday, 25 June 2016

Makam terbiar 250 tahun penemuan baharu warisan di Pulau Pinang


Tidak ramai yang tahu di Kampung Bagan Dalam di sini terdapat makam berusia kira-kira 250 tahun, tempat bersemadi dua beradik yang merupakan penyumbang terbesar dalam sejarah pembukaan kampung itu.

Kubur usang itu kini terbiar berikutan kisah dua pedagang dan pendakwah Islam yang berasal dari wilayah Fathan, Afghanistan iaitu Tuan Sheikh Akhil Khan Mohammad dan Tuan Sheikh Ghulam Khan Mohammad kurang diketahui masyarakat.

Menurut Presiden Persatuan Pelancongan dan Warisan Melayu Pulau Pinang (Sahabat) Syed Kamalrul Sufian Syed Kadiron Mustafa, tidak ramai terutama generasi muda yang mengetahui perjalanan hidup dua beradik itu dalam membangunkan syiar Islam di sini.

“Kini satu-satunya kenangan yang tinggal ialah makam dua beradik itu yang terletak dalam kawasan Kampung Bagan Dalam ini. Namun sayang sekali makam dua pedagang yang pernah memberikan ilmu Islam itu terbiar begitu sahaja tanpa sebarang tanda,” katanya.

Beliau berkata, apa yang menyedihkan makam yang paling lama dikenal pasti di kawasan itu kini dipenuhi belukar, buluh dan terbiar. Sesekali ia dibersihkan oleh masyarakat Rohingya yang tinggal berdekatan makam itu.

“Sepatutnya perlu ada pengkisahan, ada satu papan tanda bahawa Bagan Dalam ini pada asalnya diasaskan oleh kedua-dua tokoh ini, kita kena mengakui bahawa hari ini kita makin kehilangan sejarah Melayu di Pulau Pinang,” katanya.

Justeru Syed Kamalrul menyeru pihak-pihak berkenaan sama ada kerajaan negeri mahu pun persekutuan membina papan tanda pada makam itu serta membina lorong menuju ke makam itu bagi memudahkan pelajar, pengkaji sejarah atau pelancong untuk melawat.

Beliau berkata, pihaknya turut memohon pihak berwajib menggazetkan makam itu sebagai tapak warisan negeri.

Menyingkap sejarah pembukaan Bagan Dalam, ia sebuah kawasan berdekatan muara Sungai Perai di sebelah selatan dan di sebelah utaranya berhampiran perairan Pulau Pinang berhadapan Tanjong Penaga dan dahulunya merupakan petempatan Melayu yang sangat masyhur.

Bagan Dalam dahulunya juga merupakan wilayah yang cukup sinonim dengan urusan perdagangan luar dan domestik khususnya bagi penduduk di sekitar George Town, Seberang Perai dan di utara semenanjung selain lokasinya yang begitu strategik berhampiran muara sungai dan laut yang dapat memudahkan kapal atau sampan dari luar berlabuh di jeti tambatan.

Waka Mohd Nor, 72, generasi kelima Tuan Sheikh Akhil dan Gulam berkata bukan aspek perdagangan sahaja menjadi mercu penting pada masa itu tetapi kehadiran dua pedagang berkenaan turut mengubah kehidupan masyarakat Melayu pada zaman itu.

Waka berkata, beliau mengetahui mengenai sejarah perkembangan Bagan Dalam daripada seorang nenek berusia 100 tahun yang dipanggil “nek ya” ketika beliau berusia 20-an.

“Nek ya menceritakan bahawa asal berkembangnya petempatan di sini (Bagan Dalam) adalah daripada dua beradik iaitu Tuan Sheikh Akhil dan Tuan Sheikh Ghulam. Mereka ini merupakan pedagang dan pendakwah Islam yang berasal dari wilayah Fathan, Afghanistan,” katanya.

Waka berkata, Sheikh Akhil dan Sheikh Gulam yang berketurunan Pashtun itu datang ke Pulau Pinang pada 1765 Masihi dengan belayar menggunakan kapal dan berkahwin dengan orang tempatan seterusnya menetap di sini hingga ke akhir hayat mereka.

Lambang kepada pemesatan Bagan Dalam hasil daripada cetusan dua pedagang itu ialah pembinaan Masjid Jamek Bagan Dalam, katanya. – Bernama

No comments:

Post a Comment