Thursday, 23 June 2016

P.Pinang, Selangor catat jumlah tertinggi mohon Skim MyDeposit


23 JUN: Negeri Selangor dan Pulau Pinang mencatatkan jumlah tertinggi dalam permohonan Skim pembiayaan Deposit Rumah Pertama (MyDeposit) iaitu sebanyak 1,661 bagi Selangor dan 576 permohonan dari Pulau Pinang.

Menurut Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, ia bukan perkara yang mengejutkan kerana hakikatnya terdapat banyak keluhan rakyat di kedua-dua negeri itu berikutan tiada kemudahan seperti yang disediakan kerajaan pusat oleh kerajaan negeri di bawah pentadbiran PKR dan DAP.

“Ini tidak mengejutkan kerana masalah perumahan di kedua-dua negeri itu sangat kronik dan dari segi harga memang mereka tidak berkemampuan, tapi kerajaan persekutuan memberi kemudahan ini tanpa melihat latar belakang politik mereka.

“Cuma saya fikir kerajaan negeri perlu meningkatkan inisiatif mereka dalam menyediakan rumah mampu milik kerana kita terima banyak keluhan rakyat daripada kedua-dua negeri itu,” katanya pada sidang media selepas Majlid Penyerahan Surat Tawaran Skim myDeposit di Putrajaya, Khamis.

Kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini telah menyalurkan RM 1,098,609 kepada 40 penerima kemudahan Skim MyDeposit.

Kata Abdul Rahman lagi, sehingga 5 Jun 2016 sebanyak 425 daripada 1311 permohonan telah diluluskan.

“Selaras dengan objektif Dasar Perumahan Negara iaitu meningkatkan keupayaan dan aksesibiliti rakyat memiliki rumah, Skim MyDeposit telah diwujudkan melalui penyerahan dana sebanyak RM200 juta oleh kerajaan sebagai sumbangan kepada pembeli rumah pertama.

“Ini juga merupakan satu lagi inisiatif kerajaan bagi membantu kumpulan M40 memiliki rumah pertama, saya pasti kepada penerima Skim MyDeposit hari ini, ia merupakan hadiah paling bermakna menjelang Syawal yang bakal disambut tidak lama lagi,” katanya.

Skim tersebut adalah satu produk khusus yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentang Rang Undang-Undang Perbekalan (2016) di Dewan Rakyat Oktober lalu.

Pemberian insentif ini terhad kepada bayaran deposit 10 peratus daripada harga jualan rumah atau maksima RM30 ribu  mengikut mana yang terendah bagi pembelian rumah berharga RM500 ribu dan ke bawah.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman turut menjelaskan permohonan lengkap yang diterima mulai 7 April 2016 sehingga 14 Jun 2016 adalah sebanyak 5276 permohonan iaitu 3090 permohonan bagi rumah baharu dan 2186 permohonan bagi rumah sekunder (sub-sale).

Daripada jumlah itu, KPKT telah melaksanakan tapisan pemilihan permohonan yang diterima berdasarkan beberapa kriteria.

Antaranya, pemohonan mestilah berwarganegara Malaysia dan berumur sekurang-kurangnya 21 tahun, serta pendapatan kasar isi rumah sebulan hendaklah di antara RM3000 sehingga RM10,000.

“Selain itu saya juga akan memikirkan insiatif baru tanpa komitmen kewangan yang tinggi, setakat ini kita ada ada 2 proposal akan dibentangkan kepada Majlis Ekonomi Negara untuk kita minta pandangan.

“Kita bagaimanapun tetap komited melakukan pelbagai perancangan pembangunan untuk membina rumah buat rakyat Malaysia,” tegasnya bagi menjawab kesangsian beberapa pihak akan komitmen kerajaan menyelesaikan masalah perumahan rakyat.

No comments:

Post a comment