Monday, 17 October 2016

Lembah Wawasan Malaysia projek terbesar Najib sebelum PRU14


Lembah Wawasan Malaysia (MVV) yang merupakan projek terbesar di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak bakal dilancarkan di Negeri Sembilan dan dijangka memakan masa 4 dekad dengan diterajui Sime Darby.
Penyokong MVV yang dipetik Straits Times Singapura berkata, projek itu tidak akan mengambil pendekatan “bina dan tarik pelabur” yang digunakan kerajaan untuk Iskandar Malaysia di Johor.
“Pendekatan kali ini ialah membiarkan ia berkembang secara semula jadi dan memanfaatkan apa yang ada,” kata seorang perancang bandar kanan yang menghadiri beberapa taklimat tertutup MVV.
Menurut beberapa pegawai kerajaan dan eksekutif sektor swasta, lokasi MVV terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pelabuhan utama negara dan mempunyai rangkaian pengangkutan baik, termasuk pembinaan sebuah stesen untuk projek kereta api berkelajuan tinggi antara Singapura dan Kuala Lumpur.
Seorang eksekutif kanan Sime Darby yang terbabit dalam perancangan projek itu berkata, MVV bergantung kepada permintaan dan syarikat itu akan menentukan pembangunannya.
“Projek Lembah Wawasan Malaysia adalah perkembangan semula jadi untuk pembangunan di rantau ini. Ia bukan projek mudah,” kata eksekutif Sime Darby itu.
Perdana menteri berharap infrastruktur sedia ada dan sedang dirancang akan menjadikan kawasan itu tarikan kepada pelabur tempatan dan antarabangsa, dengan keutamaan diberikan untuk industri berteknologi tinggi, universiti swasta, makmal penyelidikan dan pelancongan.

Kerajaan berharap dapat menarik lebih RM400 bilion pelaburan menjelang 2045 ke wilayah itu, 2 kali ganda lebih banyak daripada jumlah pelaburan di Iskandar Malaysia.
Sime Darby memiliki separuh daripada 37% atau 57,000 hektar tanah yang diperuntukkan untuk pembangunan MVV, manakala selebihnya ialah hutan simpan.
Sebagai pemilik tanah terbesar di barat Negeri Sembilan itu, Sime Darby mengemukakan cadangan mewujudkan MVV pada 2009, namun ia terpaksa ditangguhkan akibat kelembapan ekonomi dunia, kurangnya minat pelabur di Malaysia dan kekangan bajet.
Menurut akhbar itu, pegawai kanan kerajaan dan eksekutif sektor swasta berkata, Najib mengharapkan projek terbabit dapat mengembalikan populariti BN sebelum pilihan raya umum akan datang, khasnya di kalangan penduduk bandar yang mempunyai sentimen anti kerajaan.
“Sudah tentu ada agenda politik dan ia akan menjadi sebahagian rancangan untuk mewujudkan sentimen baik sebelum pilihan raya,” kata seorang ahli strategi kanan perhubungan awam kerajaan yang menghadiri beberapa taklimat tertutup berhubung projek itu.
Beliau berkata, pelancaran pelan induk projek itu akan diadakan sekitar April tahun depan, menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang dijangka berlangsung pada separuh kedua 2017.
Bagaimanapun, ia membimbangkan penganalisis ekonomi dan sektor perniagaan.
“Malaysia mendapat markah tertinggi dalam perancangan besar. Masalahnya apabila ahli politik terbabit dan semuanya menjadi lain kerana mereka mahu memaksa kemajuannya,” kata seorang ketua eksekutif di firma perundingan hartanah antarabangsa di Kuala Lumpur.
Malaysia keluar daripada krisis ekonomi serantau pada 1998 dengan memperuntukkan berbilion ringgit ke atas pembangunan infrastruktur, penubuhan pusat pentadbiran baharu Putrajaya, pembinaan lapangan terbang, pelabuhan, lebuh raya dan zon ekonomi untuk menarik pelaburan asing.
Namun, banyak projek mega itu gagal, termasuk Koridor Raya Multimedia (MS) yang diumumkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada 1996, untuk membangunkan industri teknologi maklumat, telekomunikasi dan multimedia negara serta menarik pelaburan syarikat teknologi bertaraf dunia.

No comments:

Post a comment