Projek tebus guna tanah bagi membentuk tiga buah pulau buatan di selatan perairan Pulau Pinang bukan sahaja merosakkan alam sekitar dan melanggar pelbagai peraturan persekitaran malah akan mengubah terus kawasan perairan negeri itu.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pihaknya sudah melihat dan mengkaji pelan perancangan projek itu dan membantah pelaksanaannya kerana merasakan kawasan terlibat terlalu besar iaitu seluas 4,000 hektar yang pastinya akan mengubah kawasan perairan negeri di kawasan terbabit.
“Kita membantah pelaksanaan projek itu bukan sahaja melihat kepada sudut alam sekitar sahaja tetapi juga pada sudut perhutanan kerana akan merosakkan pokok bakau dan habitat haiwan selain taman laut di sana.
“Selepas melihat pelan perancangan projek tersebut kementerian tidak akan meluluskannya,” katanya selepas majlis Pengiktirafan Malaysia Book of Records berhubung Koleksi Terbanyak Perbankan Sumber Genetik Hidupan Liar di Paya Indah Wetlands, Dengkil dekat sini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir. Hamim Samuri.
Wan Junaidi berkata, kementerian mempunyai banyak cara untuk menghalang atau menghentikan rancangan pembinaan projek itu jika kerajaan negeri bertegas untuk melaksanakannya.
“Kita ada banyak mekanisme untuk memastikan projek itu tidak akan dilaksanakan. Satu daripadanya adalah saya akan menghalang pengeluaran geran tanah untuk kawasan yang ditebus guna. Tanpa geran tanah, projek itu tidak akan mempunyai apa-apa nilai,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Bank Genetik hidupan liar seliaan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kini membantu mempercepatkan pendakwaan ke atas kes-kes penyeludupan haiwan atau anggota badan haiwan liar di negara ini.
No comments:
Post a Comment