PULAU PINANG 29 Okt. - Kecewa dengan sikap degil Kerajaan DAP Pulau Pinang berhubung pembangunan di lereng bukit, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu meluahkan hasrat meninggalkan parti tersebut.
Malah, Yee Cheu turut berterus-terang beliau tidak lagi sealiran dengan kepemimpinan DAP yang disifatkannya tidak menunjukkan sebarang perubahan.
"Sudah sampai masanya untuk saya membuat keputusan ini (meninggalkan DAP). Sebelum ini saya pernah suarakan hasrat sama pada Jun lalu. Saya yakin parti juga mengetahui mengenai perkara ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Yee Cheu sebelum ini melahirkan rasa kecewa dan mengkritik Kerajaan DAP Pulau Pinang berhubung tragedi tanah runtuh di tapak projek di Tanjung Bungah yang mengorbankan 11 nyawa pada 21 Oktober lalu.
Beliau selaku wakil rakyat kawasan itu sudah beberapa kali menyatakan bantahan terhadap projek di tepi lereng bukit itu, namun tidak diendahkan Kerajaan DAP Pulau Pinang yang tetap memberi keistimewaan kepada pemaju.
Yee Cheu sebelum ini juga dikenali sebagai ADUN DAP berhaluan kiri kerana sering mengkritik kepemimpinan Kerajaan DAP Pulau Pinang termasuk beberapa kali mengusulkan di sidang DUN supaya jawatan Ketua Menteri dihadkan hanya kepada dua penggal.
Dalam pada itu, ditanya hala tujunya selepas meninggalkan DAP kelak, Yee Cheu turut berterus-terang bahawa beliau tidak bercita-cita untuk menyertai mana-mana parti politik pembangkang dalam Pakatan Harapan yang diketuai DAP.
Malah, beliau mengakui belum membuat sebarang keputusan untuk menyertai mana-mana parti politik lain atau terus bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Masih terlalu awal untuk saya membuat keputusan mengenai perkara itu (sertai parti politik lain dan bertanding PRU-14). Lagipun saya masih perlu menghadiri sidang DUN bulan depan,” katanya.
Yee Cheu, 55, yang juga dikenali sebagai aktivis alam sekitar mula menyertai politik selepas menjalankan kerja-kerja bersama jentera parti DAP pada 1999.
Beliau mula bertanding sebagai wakil rakyat DAP pada 2004 di kerusi DUN Air Putih, namun tewas kepada calon MCA.
Bagaimanapun, pada 2008 iaitu ketika berlakunya tsunami politik dalam kalangan pengundi Cina, Yee Cheu memperoleh kemenangan besar ketika bertanding di kerusi DUN Tanjung Bungah dan mengekalkan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum 2013. UTUSAN
No comments:
Post a Comment