Thursday, 27 December 2018

Lokasi pelancongan popular dibom, gegar Songkla 

SONGKLA, 27 DIS: Dua butir bom menggegarkan Pantai Samila di sini malam tadi, yang popular di kalangan pelancong dalam dan luar negara termasuk rakyat Malaysia.

Letupan bom pertama berlaku pada 10 malam tadi (11 malam waktu Malaysia), merosakkan patung ikan duyung yang menjadi simbol industri pelancongan di wilayah berkenaan. Gabenor Wilayah Songkla, Wiranan Penjang yang mengesahkan perkara itu berkata, letupan berkenaan menyebabkan bahagian bawah patung besi itu terputus dua.

Letupan kedua pula, berlaku 10 minit selepas kejadian pertama di patung tikus dan kucing di pantai sama yang terletak kira-kira 200 meter dari lokasi patung ikan duyung itu.

“Tiada kecederaan dilaporkan dalam kedua-dua kejadian letupan bom itu dan lokasi kejadian telah ditutup kepada pengunjung,” kata Wiranan dan menambah, anggota forensik keselamatan Thailand akan memeriksa secara terperinci lokasi letupan bom berkenaan.

 Konsul Jeneral Malaysia di Songkla, Mohd Afandi Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan tiada rakyat Malaysia cedera dalam kejadian itu. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment