Saturday, 26 January 2019

Jambatan Pulau Pinang bakal dipasang AES..?

KEMENTERIAN Pengangkutan bersetuju dengan cadangan Plus Malaysia Berhad (PLUS) untuk memasang kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di enam lebuh raya kendaliannya termasuk di Jambatan Pulau Pinang tanpa mengenakan sebarang kos pemasangan kepada kerajaan.

Menterinya Anthony Loke berkata, pihaknya akan berbincang dengan PLUS mengenai cadangan yang dikemukakan pihak konsensi lebuh raya berkenaan. Beliau berkata, pada dasarnya kementerian bersetuju dengan cadangan PLUS memasang kamera AES di lokasi panas yang sering berlaku kemalangan.

 Menurutnya, lokasi pemasangan kamera AES akan ditentukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kajian yang dilakukan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

“Setakat ini, belum ada keputusan berapa jumlah dan lokasi ia akan dipasang. PLUS hanya melaksanakan pemasangan kamera AES tetapi pemantauannya kelak akan diuruskan JPJ.

 “Kementerian tidak akan mengeluarkan sebarang peruntukan untuk memasang kamera AES sebaliknya PLUS yang akan menanggung segala kos pemasangan.

 “Sebelum ini, kerajaan terpaksa membayar dengan cara dikongsi secara bersama dengan pihak syarikat yang diberi kontrak, namun kali ini PLUS tidak akan mengenakan bayaran sesen pun,” katanya.

 Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan ke pejabat Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di Kelana Jaya, hari ini. Menurutnya, ia sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) PLUS dan cadangan pemasangan itu bertujuan mengelak kemalangan berlaku.

 “Kerajaan bukan sesuka hati memasang AES untuk mengutip saman sebaliknya mahu pengguna lebuh raya lebih berhati-hati ketika memandu. “Jangan ada pihak yang kata kerajaan suka kutip saman. Ia ada tujuan dan kajian kenapa kita pasang AES,” katanya.

Kredit : Harian Metro

No comments:

Post a comment