Monday, 28 January 2019

Meriam, mortar berusia lebih 200 tahun ditemukan di Tapak Fort Cornwallis, Padang Kota

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow melihat meriam dan mortar zaman penjajahan British yang ditemui oleh penyelidik dari Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia pada Jumaat lepas semasa kerja-kerja pemuliharaan di Tapak Fort Cornwalis Padang Kota Lama. - Bernama
GEORGE TOWN: Selaras meriam dan selaras mortar ditemukan semasa kerja-kerja ekskavasi dijalankan pada struktur pertahanan luar dan terusan yang mengelilingi Kota Cornwallis, di sini bakal melengkapkan data sejarah awal mengenai kota lama itu.

Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Mokhtar Saidin berkata kerja-kerja ekskavasi pada Jumaat lepas, di tapak berkenaan yang dilakukan oleh 12 penyelidik telah menemukan selaras meriam dan selaras mortar yang berusia lebih 200 tahun.

 Menurutnya, penemuan meriam dan mortar itu ada bersebelah satu sama lain dan akan dihantar ke USM untuk pemuliharaan dan analisis selanjutnya.

 "Hasil penemuan meriam dan mortar ini bakal melengkapkan data sejarah awal di Kota Cornwallis dibina oleh British dan diduduki oleh Jepun," katanya kepada pemberita selepas lawatan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow di sini pada Ahad.

 Beliau berkata mengikut rekod sejarah awal Pulau Pinang, di tapak Kota Cornwallis ini mempunyai lebih 100 meriam dan lebih kurang 10 mortar yang masih tertanam di bawah tanah. "Kerja-kerja ekskavasi yang bermula hujung tahun lepas akan diteruskan sehingga November tahun ini bagi membersihkan tempat ini untuk menempatkan satu galeri sejarah," katanya.

Beliau berkata USM telah mendapat geran RM49,000 daripada kerajaan negeri bagi menjalankan kerja-kerja ekskavasi di tapak itu selama setahun. Kerja-kerja ekskavasi itu diluluskan oleh Jabatan Warisan Negara dan ia sebahagian daripada usaha untuk memulihkan pertahanan dalam bentuk terusan yang mengelilingi kota berusia 232 tahun itu. Terusan itu telah dikambus pada 1922. -- BERNAMA

No comments:

Post a comment