Wednesday, 16 January 2019

Misteri.. Wajah 'manusia' pada pokok pinang yang pernah viral di Kepala Batas

KEWUJUDAN wajah persis manusia pada upih pokok pinang mungkin berkaitan dengan kecacatan sel fisologi pokok. 



 PADA September 2006, penduduk sekitar Pulau Pinang gempar selepas menyedari kewujudan wajah menakutkan pada upih pokok pinang berhampiran rumah seorang penduduk di Kampung Paya, Kepala Batas. 

Kewujudan wajah persis manusia yang lengkap dengan mata, gigi, hidung dan dahi itu dikatakan muncul secara misteri pada kulit batang pokok pinang berusia lebih 10 tahun itu.

Wajah manusia itu muncul di batang pokok berkenaan pada ketinggian kira-kira lima meter. Saksi memberitahu, wajah pada upih pinang itu terbentuk dalam tempoh sebulan sehinggalah kelihatan amat ketara memiliki bentuk dua mata, hidung, gigi dan dahi.

 Sejak kewujudan wajah misteri pada batang pokok itu disedari dan dilaporkan akhbar, ramai penduduk termasuk dari luar Pulau Pinang berpusu-pusu untuk melihat sendiri fenomena aneh dan misteri berkenaan sehingga menyebabkan kawasan kampung sesak dan riuh seakan pesta.

 Anggota dan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Prai Utara juga turut ke kampung itu untuk mengawal keadaan kerana khuatir situasi buruk berlaku berikutan adanya pihak yang taksub dengan keanehan pada pokok itu.

 Wujud dakwaan kononnya wajah pada pokok pinang itu berubah hari demi hari kerana penduduk yang merakam gambar wajah itu mendakwa ia berbeza dengan imej yang diambil sebelum ini. Ada juga pihak tertentu yang bertindak di luar batasan apabila melakukan upacara pelik antaranya menabur beras kunyit dan bunga sekitar pokok itu kerana mempercayai tanggapan tahyul kononnya pohon berkenaan memiliki keramat.

 Walaupun sekitar pokok itu dipasang tali pita untuk menghalang orang ramai menghampirinya, masih ada pihak yang mengambil kesempatan memotong akarnya pada awal pagi. Perbuatan itu dipercayai dilakukan antara jam 2 dan 5 pagi memandangkan orang ramai masih mengunjungi kawasan berkenaan pada siang hingga tengah malam.

Penduduk tempatan pula mengambil kesempatan menjual gambar wajah aneh pada batang pokok pinang itu dengan harga RM2 sekeping kepada pengunjung luar. Semakin hari, fenomena kewujudan 'wajah manusia' pada upih pinang itu menjadi semakin hangat diperkatakan sehingga menyebabkan ramai pihak bingung dalam usaha untuk mencari kepastian mengenai kejadian alam luar biasa itu.

 Apakah misteri yang terselindung di sebalik pembentukan upih pinang itu sehingga membentuk seakan wajah manusia? Adakah wujudnya unsur kuasa mistik dan ghaib dalam fenomena itu seperti dipercayai segelintir pihak fanatik?

Bagi mencari kepastian terhadap kejadian pelik itu, beberapa pihak termasuk penyelidik Universiti Putra Malaysia tampil mengemukakan penjelasan saintifik bagi merungkai misteri fenomena pelik berkenaan.

 Menurut mereka, kemungkinan suatu tumbuhan itu memiliki bentuk seakan-akan wajah manusia adalah tidak mustahil disebabkan beberapa faktor. Secara ringkas, bentuk aneh seperti 'wajah manusia' boleh muncul pada kulit pokok apabila sesuatu tumbuhan itu mengalami kecacatan iaitu sel fisologi pokok itu tidak bertindak balas mengikut kebiasaan dalam proses tumbesarannya.

 Selain berpunca daripada sel fisiologi tidak normal, fenomena pelik pada kulit tumbuhan itu juga mungkin berlaku akibat kecederaan fizikal pokok yang berpunca daripada tiga ancaman iaitu serangan kulat, serangga dan manusia. Akibat kecederaan itu, pokok akan melakukan baik pulih dikenali proses luahan agen pertahanan untuk menghalang bakteria daripada terus menyerang.

Hasilnya, keadaan fizikal pokok akan berubah menjadi luar biasa seperti wujudnya kesan lubang pada batang, saiz buah yang luar biasa dan pelbagai bentuk pelik pada kulitnya.

 Bagaimanapun, dalam kebanyakan kes, saintis menjelaskan fenomena seperti kewujudan 'wajah manusia' pada kulit tumbuhan berlaku disebabkan interpretasi seseorang menerusi mindanya. Situasi sama juga boleh berlaku apabila seseorang melihat awan yang mampu membentuk pelbagai objek pelik berdasarkan tanggapan minda seseorang tetapi perkara berkenaan sebenarnya bukanlah sesuatu yang misteri.

 Walaupun pelbagai penjelasan saintifik sudah dijelaskan pakar dan disebarkan menerusi media cetak, sikap taksub segelintir pihak terhadap fenomena 'wajah manusia' pada pokok pinang di Kampung Paya itu masih berterusan.

 Bimbang dengan wujudnya pelbagai kegiatan khurafat dan pemujaan terhadap wajah aneh pada pokok pinang itu, Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) tampil memberi amaran keras bagi menghentikan kegiatan sesat itu.

 Menurut Maipp, tindakan pihak yang mempercayai upih pinang berwajah 'manusia' itu memiliki keramat dan mengambil kulit, akar dan daunnya untuk tujuan meminta sesuatu adalah bertentangan dengan Islam serta boleh memesongkan akidah. Maipp menjelaskan sekiranya perkara berkenaan menjadi tidak terkawal, mereka tidak akan teragak-agak untuk menebang pokok pinang berkenaan.

 Kegemparan penduduk mengenai kewujudan 'wajah manusia' pada pokok pinang berkenaan berlarutan selama beberapa hari dan fenomena pelik itu hanya berakhir apabila upih yang memiliki bentuk ganjil itu gugur daripada pohon berkenaan tidak lama selepas itu.

Kredit : Berita Harian Online

No comments:

Post a comment