Tuesday, 29 January 2019

Pemuda UMNO pertikai lantikan Adun DAP dalam Yadim

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan tindakan Dr Mujahid Yusof Rawa yang didakwa melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP sebagai anggota lembaga pemegang amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
Kesal dengan pelantikan itu, Asyraf Wajdi berkata, Yadim seharusnya kekal sebagai badan dakwah ulung melangkaui parti politik yang berperanan melebarkan kefahaman Islam dan menyebarkan dakwah Islamiah dan Islahiah dalam kalangan rakyat sejak penubuhannya pada 1974.
“DAP adalah parti yang tidak pernah mahu iktiraf Islam sebagai agama negara, malah konsisten sejak penubuhannya sehingga kini mahu menjadikan Malaysia sebuah negara sekular.
“Nampaknya satu persatu institusi Islam mula diusik dan dirobek oleh kerajaan PH yang didominasi DAP kini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Mujahid yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengesahkan pelantikan ADUN Paloh, Johor Sheikh Omar Ali sebagai anggota lembaga pemegang amanah Yadim.
Beliau dilaporkan berkata, pelantikan Sheikh Omar itu adalah berdasarkan kelayakannya sebagai seorang yang mempunyai latar belakang agama.
Difahamkan, Sheikh Omar dilantik ke jawatan itu untuk tempoh dua tahun dan watikah pelantikannya akan disampaikan oleh Mujahid di Putrajaya esok.
Pelantikan Sheikh Omar itu dipercayai yang pertama membabitkan pemimpin DAP ke dalam institusi agama berkaitan kerajaan pusat.

No comments:

Post a comment