Monday, 14 January 2019

Perlantik Eric Paulsen wakil Malaysia ke AIHCR langkah sumbang - Reezal Merican



1. Pertama sekali, saya menganggap pelantikan Eric Paulsen, Pengarah Undang-Undang Fortify Liberty sebagai wakil Malaysia dalam Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AIHCR) sebagai langkah yang sumbang dan silap.

2. Eric Paulsen seorang yang sangat kontroversi dan mempunyai perspektif dan pandangan yang sangat liberal. Kita tidak nafikan merit beliau sebagai pengamal undang-undang. Kita juga tak nafikan latar pendidikan beliau yang baik. Namun Eric Paulsen masih perlu memberikan banyak penjelasan mengenai sikap dan pendirian beliau selama ini.

3. Apakah mereka yang terlibat dalam pemilihan jawatan strategik ini tidak melihat pendirian Eric sebelum-sebelum ini? Antara perkara yang pernah dibangkitkan Eric Paulsen: -

- JAKIM mempromosi ekstremisme;
- Mufti Negeri Johor Darul Takzim dianggap sebagai Taliban;
- Kebanyakan mufti dan ulama' tidak siuman;
- JAKIM dan para ulama' tidak ubah seperti kasta paderi Eropah;

4. Pandangan ini walaupun diberikan di dalam media sosial (twitter) tetap membayangkan akar fikiran beliau yang terlalu kontroversi dan kasar.

5. Saya minta Menteri Luar bersikap telus dan memberitahu rakyat berapa nama yang disenarai pendek untuk jawatan ini? Siapa anggota pemilih? Apakah tidak ada tokoh-tokoh lain yang kurang kontroversi boleh diketengahkan?

6. Pelantikan Eric Paulsen ini  mendatangkan kekhuatiran di kalangan majoriti rakyat kerana sikapnya yang terlalu melindungi kumpulan LGBT. Apakah ini sahaja aspek "hak asasi" yang mahu diperjuangkan di peringkat ASEAN?

7. Saya cukup pasti, ada nama-nama lain yang boleh dipertimbangkan pihak kerajaan. Kalangan anggota jawatankuasa baru Bar Council juga tidak kurang kredibilitinya. Demikian juga para aktivis Centre for Human Rights Research & Advocacy (CENTHRA). Kita punya ramai bakat lain yang boleh diketengahkan - berbanding seorang individu yang penuh kontroversi.

Reezal Merican Naina Merican
Ahli Parlimen Kepala Batas


# Jika kita perhatikan pada komen-komen dan kenyataan-kenyataan beliau sebelum ini terhadap islam dan institusi islam, jelas beliau telah menghina dan mengguriskan hati umat islam.

Adakah beliau akan memperjuangkan kepentingan dan hak asasi orang-orang Islam semasa menjadi wakil di ASEAN? Sudah pasti  ia menjadi satu perkara yang amat diragui.


No comments:

Post a comment