Monday, 14 January 2019

'Syam Sado' dihormati dan banyak membantu

AHLI keluarga serta rakan mangsa seorang kontraktor pembinaan yang mati ditembak di kawasan parkir Flat Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) hadir di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang. - NSTP/Ramdzan Masiam
GEORGETOWN: Mohammad Nazrulhisyam Mohamed Meera atau ‘Syam Sado’ yang dibunuh ala mafia selepas ditembak dengan lima das di Jalan Patani di sini, sangat dihormati dan disenangi rakan-rakannya.
Itu gambaran yang disampaikan selepas lebih 100 rakan dan saudaranya memenuhi Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, bagi menunggu proses bedah siasat ke atas jenazah, sejak jam 9 pagi tadi.

Difahamkan, Nazrulhisyam, 27, yang terbabit dalam beberapa aktiviti badan bukan kerajaan (NGO) itu sentiasa disenangi dan mudah didekati setiap lapisan umur.

Rata-rata yang ditemui terkejut dengan apa yang berlaku dan menyifatkan ia satu kejadian yang menyayat hati.

Bapa mangsa, Mohamed Meera, 50-an, dilihat menangis sambil memeluk anak perempuan dan isterinya ketika menunggu untuk menuntut jenazah anak lelakinya di Jabatan Forensik HPP.

Mereka yang enggan berkongsi kesedihan bersama wartawan cuba ditenteramkan saudara mara dan rakan terdekat.

Jenazah mangsa dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Perak di sini sejurus selesai proses bedah siasat.

Dalam kejadian 11.30 malam tadi, mangsa maut ditembak dari jarak dekat di kawasan parkir Flat Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Jalan Patani, di sini.

Mangsa ditemui maut dengan lima kesan tembakan dalam kes pembunuhan ala hukuman itu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, sebelum kejadian mangsa bersama enam rakannya sedang berbual di kawasan parkir di situ.

“Sejurus kemudian, datang sebuah motosikal jenis Yamaha 135 LC warna hitam dinaiki dua lelaki dari arah belakang dan berhenti di belakang mangsa.

“Salah seorang daripada mereka turun dari motosikal dan terus melepaskan beberapa das tembakan ke arah badan dan kepala mangsa menyebabkan dia jatuh terlentang.

“Ketika itu, suspek masih lagi melepaskan tembakan ke arah mangsa,” katanya.
Che Zaimani berkata, suspek yang dipercayai pembunuh upahan itu melepaskan lebih daripada lima das tembakan ke arah mangsa.

“Saksi di tempat kejadian tidak pasti dari arah mana suspek lari, kerana mereka bertempiaran lari menyelamatkan diri.

“Suspek yang melepaskan tembakan memakai pakaian serba hitam dan memakai topi keledar berpenutup penuh berwarna hitam,” katanya.

Menurutnya, mangsa ditembak dari jarak tiga meter dan disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan HPP.

Katanya, mangsa mempunyai tiga rekod jenayah lampau pada 2016 dan 2018 dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kredit : Berita Harian Online

No comments:

Post a comment