Tuesday, 15 January 2019

Wanita misteri di Kepala Batas berjaya ditahan. PATI rupanya..


WANITA berwajah biru dan kadang-kala didakwa bermata merah yang berkeliaran di beberapa kawasan di Kepala Batas hingga tular di laman sosial minggu lalu, berjaya ditahan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, penahanan wanita itu dibuat pada jam 10 pagi tadi berdekatan Pajak Song yang menjadi lokasi yang ditularkan pengguna laman sosial.

 Menurutnya, ketika ditahan wanita warga Indonesia itu gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah. “Polis membawa wanita berkenaan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara untuk siasatan bagi mengetahui motif dia berkeliaran di beberapa kawasan dekat sini dalam keadaan mencurigakan.

 “Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen dan suspek akan direman esok di Mahkamah Butterworth untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

 Minggu lalu, penduduk sekitar daerah ini digemparkan dengan seorang wanita yang berwajah biru, bertudung merah, berjubah hitam dan berkasut sukan menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan di kawasan yang menjadi tumpuan kanak-kanak.

 Kejadian itu dirakamkan beberapa individu yang memuat naik video berkenaan ke laman sosial sehingga ia tular dan menjadi bualan hangat netizen.

Kredit Harian Metro

No comments:

Post a comment