Tuesday, 26 February 2019

Demonstrasi ‘Jangan Hina Nabi Kami’ Jumaat ini di Seberang Jaya



Umat Islam di Utara tanah air diajak beramai-ramai hadir pada demonstrasi besar-besaran ‘Jangan Hina Nabi Kami’ di Masjid Jamek Seberang Jaya, Pulau Pinang, selepas solat Jumaat, 1 Mac ini.

Pengerusi Sekretariat Himpunan Kebangkitan Ummah Pulau Pinang, Bukhori Ghazali berkata, kesabaran umat Islam sukar dibendung lagi apabila suspek yang menghina Nabi Muhammad ﷺ dibebas dengan jaminan polis.


“Kita faham polis ada SOP (prosedur operasi standard). Namun kenapa menteri agama dan lain-lain menteri Islam dalam kerajaan PH (Pakatan Harapan) mendiamkan diri dan tidak bertindak tegas menangani isu ini?

“Wajib diingat, bagi umat Islam, harga mempertahankan maruah Nabi adalah darah dan nyawa,” katanya.

Kesal dengan kejadian penghinaan terhadap Islam yang berleluasa sejak kebelakangan ini, Bukhori berkata, penghinaan terhadap Islam dan Nabi Muhammad ﷺ boleh mencetuskan ketegangan agama tahap tertinggi.

“Oleh itu pelakunya tidak harus bebas begitu sahaja,” katanya.

Beliau mengingatkan mana-mana pihak tidak sama sekali menganggap kesediaan umat Islam untuk bertolak ansur sebagai satu ‘kelemahan’.

Terdahulu, media melaporkan mahkamah menolak permohonan polis bagi menahan reman suspek kes hina nabi selama 10 hari.

Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun berkata, suspek terbabit ditangkap di Mentakab, Pahang dan dibawa ke Johor untuk proses selanjutnya.

“Asalnya polis memohon mahkamah benarkan dia ditahan reman selama 10 hari, tetapi yang diluluskan hanya tiga hari.

“Kemudian polis minta untuk sambung (reman) tetapi tak diluluskan kerana dia ada masalah kesihatan yang agak rumit. Misalnya penyakit jantung, darah tinggi dan lain-lain lagi,” katanya.

Fuzi berkata, disebabkan mahkamah menolak permohonan lanjutan reman, lelaki terbabit dibebaskan dengan jaminan polis.

Sumber : ISMAWEB

No comments:

Post a comment