Sunday, 3 February 2019

Laporan polis kerana program swafoto Najib tindakan paling bodoh - Norhiesam Ismail


PULAU PINANG 3 Feb. – Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal menyifatkan laporan polis terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ekoran program berswafoto beliau di Langkawi sebagai tindakan paling bodoh.


Ketuanya, Mohd. Norhiesam Ismail berkata, alasan yang diberikan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana kononnya program Najib itu menggangu ketenteraman awam juga langsung tidak boleh diterima.

Hakikatnya, jelas beliau, laporan polis itu dibuat kerana keresahan pemimpin dan penyokong kerajaan khususnya Bersatu ketika ini terhadap populariti dan perhatian yang diberikan rakyat terhadap Najib di dalam media sosial.

Lebih membimbangkan mereka, tambahnya, populariti yang diperoleh Najib itu adalah bersandarkan segala pendedahan dan kepincangan kerajaan ketika ini yang dibuat dalam bentuk sindiran tetapi berfakta.

“Contoh terbesar ialah tentang isu harga minyak, pemotongan peruntukan makanan kepada pelajar sekolah berasrama penuh, Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan banyak lagi.

“Lebih menakutkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) apabila mereka gagal menjawab dengan tepat dan akhirnya terdiam seribu bahasa hasil fakta dan sindiran Najib,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Mohd. Norhiesam, Najib juga berjaya membuktikan Kerajaan PH merupakan kerajaan yang gagal mengurus negara dengan baik dan terpaksa berkali-kali membuat pusingan-U akibat ditegur dan disindir oleh beliau.

Tambah beliau, pihaknya yakin rakyat kembali menilai dan sedar yang mana selepas sembilan bulan Kerajaan PH memerintah, mereka semakin terhimpit dengan bebanan hidup, ekonomi merudum teruk dan paling besar ditipu dengan manifesto yang tidak dapat ditunaikan sehingga kini.

“Semakin hari semakin banyak kesilapan yang telah dibuat oleh Kerajaan PH dan selagi itulah Najib serta rakyat akan terus ‘troll’ pentadbiran PH.

“Inilah natijahnya sebuah kerajaan yang dipilih lahir daripada fitnah,” katanya. – UTUSAN ONLINE




Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/politik/laporan-polis-kerana-program-swafoto-najib-tindakan-paling-bodoh-1.834680#ixzz5eRaAg6DU
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a comment