Wednesday, 6 February 2019

Lebih baik PATRIOT diam pergi belajar agama - Ridhuan Tee




Pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah hari ini membidas kenyataan Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) berhubung penyelesaian luar mahkamah kes saman Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Ridhuan Tee berkata, gesaan Patriot yang terdiri daripada perajurit pencen boleh dikira dengan jari itu tidak mewakili rakyat secara keseluruhan.


“Jadi tak perlulah terlalu perasan. Pemimpin Patriot yang dah pencen ini seolah-olah sudah tiada kerja. Cuba memperlihatkan dirinya pandai.

“Saya fikir biarlah SPRM yang buat kerja. Serah kepada SPRM untuk menyiasat. Tak perlu NGO itu menyibuk seolah-olah dialah SPRM,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Patriot yang mengatakan rakyat Malaysia menuntut kebenaran ke atas penyelesaian di luar mahkamah kes saman itu.

Presiden Patriot, Mohamed Arshad Raji dilaporkan berkata, rakyat Malaysia juga menuntut kebenaran ke atas kes itu kerana walaupun ia tidak akan diadili, namun tuduhan Brown bahawa RM90 juta telah dibayar kepada pemimpin PAS, kekal.

Mengulas lanjut, Ridhuan Tee berkata, Patriot cuba menunjukkan mereka pandai dengan harapan supaya kerajaan nampak kewujudan NGO itu bagi dilantik sebagai ahli lembaga mana-mana badan profesional kerajaan.

“Siapa Patriot yang cuba melebih-lebih mendesak PAS untuk melakukan itu ini. Saya sarankan Patriot ini selain pandai menonjolkan diri, eloklah memperdalamkan diri ahli-ahlinya dengan ilmu akhirat. Usia dah tua, bekalan masih belum cukup.

“Saya banyak mengenali pegawai-pegawai tentera ini ketika melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana Pengajian Strategi dan Keselamatan dan pengalaman bekerja di UPNM (Universiti Pertahanan Nasional Malaysia),” katanya.

No comments:

Post a comment