Friday, 22 February 2019

Nasi Tomato dan Nasi Beriani di Balik Pulau Sekupang Saja. (8 gambar)


BALIK PULAU: “Biaq betoi (biar betul), nasi beriani sekupang,” itu reaksi setiap pengunjung yang ke Baen Cafe di sini.


Ramai yang terkejut kerana nasi tomato dan nasi beriani kosong dijual di premis itu dengan harga hanya 10 sen sepinggan.

Lebih unik, minuman yang dibancuh dengan gula dan perisa seperti sirap, teh O dan kopi O juga dijual dengan harga 10 sen segelas.

Pemilik Baen Cafe, Ibrahim Abdul Rahim, 37, berkata, sudah 15 tahun dia mengusahakan perniagaan makanan itu selepas meneruskan legasi bapanya.

Menurutnya, sebelum ini dia berniaga di sebuah gerai berdekatan sebelum berpindah ke kawasan berhampiran Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Balik Pulau pada Mei tahun lalu.

“Sudah setahun saya berniaga di sini dan sejak itu juga mula menjual nasi beriani dan nasi tomato yang belum dicampur lauk dengan harga 10 sen sepinggan.

“Selain itu, air yang dibancuh dengan perisa dan gula juga dijual dengan harga 10 sen, tetapi ia hanya untuk mereka yang makan di sini dan tidak boleh dibungkus,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, idea menjual nasi dengan harga 10 sen itu datang selepas menyedari keperluan untuk menjual makanan dengan murah mengikut keadaan ekonomi semasa selain membantu meringankan kos kehidupan pelanggan.

Katanya, dia faham dengan keadaan ekonomi ketika ini dan sebab itu dia menjual makanan dengan murah.

“Sebelum ini, saya pernah memberi percuma setiap air minuman kepada pelanggan yang datang makan ke kedai saya, tetapi ia menimbulkan perasaan malu dalam kalangan penunjung serta ada yang tidak gemar dengan minuman percuma.

“Namun, perniagaan saya ketika itu juga cukup menguntungkan kerana orang ramai datang kerana harga makanan dijual berpatutan.

“Ketika itu, saya menjual ayam goreng dengan harga RM1 setiap satu,” katanya.

Peniaga itu berkata, di kedai makannya juga dia menjual nasi campur dengan beraneka lauk dan ia jauh lebih murah daripada kedai biasa malah harganya 50 peratus jauh lebih murah.

“Sebagai contoh, ayam goreng yang dijual RM3 di kedai lain, kami menjualnya dengan harga RM1.50, ikan cencaru yang dijual RM5 di kedai lain hanya dijual RM3 di sini,” katanya. - Kredit Harian Metro






No comments:

Post a Comment