Monday, 18 February 2019

Para Penggiat Pelancongan Pulau Pinang Perlu Lebih Dinamik

Penggiat-Penggiat Industri Pelancongan Pulau Pinang digalak lebih dinamik untuk melakukan perubahan tanpa hanya bergantung kepada satu produk semata-mata.



Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, setiap pemain industri perlu mengikuti atau mengembangkan produk mereka mengikut trend semasa.

 Beliau berkata, sudah tiba masanya semua pemain industri untuk keluar dari zon selesa dan perlu berdaya saing bagi memastikan setiap produk Pelancongan mendapat perhatian dan pendedahan yang sewajarnya.

 “Sebagai contoh, berapakah jumlah pengunjung yang akan kerap menaiki trem atau berkunjung ke Bukit Bendera dan akhirnya mengambil keputusan untuk tidak berkunjung lagi?.

 “Sebagai langkah dinamik, pembukaan The Habitat Pulau Pinang sebagai salah satu produk pelancongan dengan nilai tambah produk yang sedia di Bukit Bendera telah berjaya menarik lebih ramai kedatangan pengunjung sekaligus ia perlu menjadi contoh terbaik kepada pemain industri pelancongan yang lain untuk turut sama mengambil inisiatif seperti itu,” katanya ketika ditemui semasa Sesi Beramah Mesra Bersama Pengiat Industri Pelancongan di Hotel Bayview Georgetown semalam.

 Hadir sama, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Negeri Pulau Pinang, Jonathan Freddy P.Bagang dan Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara, Sani Sham Ahmad.

 Muhammad Bakhtiar berkata, berdasarkan rekod di Pulau Pinang sendiri mempunyai 242 hotel dengan 20,306 bilik penginapan ditawarkan dan mengikut suku ketiga pertama bermula dari Januari hingga September tahun lalu kadar purata penghunian (AOR) di Pulau Pinang mencatatkan penurunan 2.9 peratus pada kadar 60.4 peratus berbanding tahun 2017 (60.6 peratus).

 Beliau berkata, masalah penurunan kadar itu membabitkan beberapa faktor antaranya kualiti perkhidmatan yang rendah dan tanggapan negatif pelancong itu sendiri.

 “Atas sebab itulah apa yang paling penting bagi pengiat industri perhotelan tidak hanya fokus pada kualiti bilik semata-mata tetapi menyediakan latihan yang lebih cekap, berkemahiran dan mantap kepada pekerja-pekerja selain lebih mesra dengan pelancong.

 “Kita juga sedang giat merangka persiapan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 dan tidak lagi menggunakan konsep promosi yang lama seperti risalah dan papan promosi sebaliknya menggunakan promosi secara digital seperti media sosial.

9 “Kementerian Pelancongan juga berkerjasama rapat dengan tunjang utama media sosial seperti Trip Advisor dan Expedia serta Amadeus dan Mastercard. “Sebagai langkah proaktif, perancangan kami adalah merancang startegi termasuk aktiviti promosi yang lebih efektif dan pengiklanan mampu catat bilangan kemasukan pelancong dengan lebih terperinci sekaligus mencapai sasaran yang dikehendaki,” katanya

No comments:

Post a comment