Thursday, 28 February 2019

Penunggang Motosikal Abai Keselamatan, Masih Guna Terowong..

Penunggang motosikal masih dilihat mengguna terowong di Jalan Tetembok, George Town selepas seorang penunggang maut digilis treler pagi tadi. - Astro AWANI

GEORGE TOWN: Penunggang motosikal di George Town nampaknya masih mengabaikan keselamatan diri mereka.

Tinjauan Astro AWANI di lokasi kemalangan maut membabitkan seorang penunggang motosikal di Jalan Tetembok di sini, pagi tadi mendapati masih ramai penunggang menggunakan laluan tersebut biarpun motosikal dilarang melalui kawasan itu.

Malah papan tanda berhubung larangan tersebut turut dipasang di kedua-dua arah laluan berkenaan.

Bagaimanapun, beberapa penunggang motosikal yang ditemui mengakui kebanyakan penunggang terutamanya dari luar negeri tidak mengetahui larangan tersebut.

Malah mereka mendakwa, papan tanda yang dipasang juga tidak dapat dilihat dengan jelas menyebabkan ramai di antara mereka terus melalui jalan tersebut.

Papan tanda melarang motosikal melalui kawasan berkenaan. - Astro AWANI
"Sepatutnya motosikal memang tidak boleh masuk terowong itu kerana laluan sempit. Memang ada signboard tetapi ada yang tidak nampak sebab mereka laju.

"Kadang-kadang, penunggang masuk terowong itu sebab dekat roundabout itu ada roadblock," kata seorang penunggang motosikal, S. Vigneswaran.

Seorang lagi penunggang, Mohd Izzat Ramli, berkata, "Saya orang luar, jadi sebelum ini saya tidak perasan ada signboard larangan motosikal itu."

"Terowong itu juga sempit dan sedikit berpasir, memang berbahaya untuk pengguna motosikal tetapi ramai penunggang lalu di situ. Kadang-kadang, apabila mereka nampak trafik di roundabout sesak, mereka lalu sahaja terowong itu," ujarnya.

"Selalunya, banyak penunggang motosikal dari luar Pulau Pinang yang akan guna lorong (terowong) ini sebab mereka tidak tahu. Signboard duduk jauh daripada laluan terowong," ujar seorang lagi penunggang, Nur Shahnaz Fazlie Shahrizal.

Beberapa penunggang motosikal dilihat masih menggunakan terowong berkenaan ketika tinjauan Astro AWANI petang Rabu. - Astro AWANI
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Che Zaimani Che Awang berkata, terdapat lima papan tanda berhubung larangan motosikal menggunakan laluan itu yang dipasang di kedua-dua arah oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebelum ini.

Katanya, dua papan tanda terletak dari arah pusat bandar ke Jambatan Pulau Pinang dan tiga dari jambatan ke arah pusat bandar.

Dalam kejadian pada 6.40 pagi Rabu, seorang penunggang motosikal maut selepas bertembung dengan sebuah treler di Jalan Tetembok.

Mangsa berusia 20 tahun dari Kupang, Kedah maut selepas digilis treler yang membawa muatan cerucuk.

Siasatan awal pihak polis melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan, penunggang motosikal jenis Yamaha 125ZR itu dilihat memasuki laluan berkenaan sebelum terbabas dan melanggar hadapan treler itu.

Akibat pertembungan itu, mangsa yang terperosok di bawah treler meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Difahamkan, treler berkenaan datang dari arah Lumut, Perak, dalam perjalanan menghala ke Air Itam, untuk menghantar muatan pembinaan.

Kredit : Astro Awani

No comments:

Post a comment