Sunday, 17 February 2019

Silap tutup pintu sempadan.





TINDAKAN orang tengah dipercayai dari Thailand melakukan protes menutup pintu pagar di sempadan Malaysia menyebabkan kawasan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bukit Kayu Hitam, kecoh selama 15 minit pagi tadi.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, orang tengah dari Thailand itu sebenarnya dipercayai mahu menutup pintu sempadan negara itu selepas tidak berpuas hati dengan pelaksanaan Op Bersepadu dijalankan pihak berkuasa tempatan namun tersilap apabila dengan tidak sengaja tertutup pintu sempadan Malaysia.

Beliau berkata, kejadian berlaku pada jam 10 pagi itu menyebabkan ramai pelancong khususnya pemandu treler buntu sebelum pihak berkuasa membuka semula pintu sempadan terbabit selepas menerima laporan, kira-kira 15 minit kemudian.

 “Ia sebenarnya kes tidak puas hati membabitkan orang tengah dari Thailand dengan operasi bersepadu dijalankan JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan)... bukannya pegawai kita yang tutup pintu sempadan itu.

Mereka mahu tutup pintu sempadan Thailand tetapi tersilap dengan menutup pintu sempadan kita. “Kemungkinan mereka keliru dengan kedudukan pintu sempadan itu yang terletak selepas ICQS di Bukit Kayu Hitam.

Ramai juga yang terjejas khususnya pemandu treler kerana mereka tersekat di situ namun ramai juga yang berkumpul di situ sebagai 'penonton'. "Bagaimanapun keadaan terkawal kerana pihak kami bertindak segera selepas menerima laporan, “ katanya ketika dihubungi hari ini.

 Beliau berkata demikian bagi mengulas beberapa gambar menunjukkan orang ramai berkumpul di sempadan ekoran penutupan pintu pagar terbabit, yang tular di laman sosial.

 Pada masa sama, Zuhair berkata, pihaknya percaya tindakan itu dilakukan sekurang-kurangnya oleh dua suspek namun ketika pihak berkuasa menerima laporan berhubung kejadian terbabit, mereka sudah melarikan diri.

 Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak polis Thailand untuk mengesan suspek sebelum tindakan susulan boleh diambil terhadap mereka.

Sumber Harian Metro

No comments:

Post a comment