Monday, 11 March 2019

Bapa ditahan kerana dipercayai mendera dua anaknya

Foto Ramdzan Maslam

HANYA kerana kesalahan kecil dilakukan, dua beradik sering didera bapa mereka hingga lebam mata dan retak rusuk kanan ketika berada di rumah mereka di Taman Tun Sardon, Georgetown.



Tidak tahan didera, dua beradik itu melarikan diri dari rumah mereka awal Mac lalu dan hidup menumpang di rumah rakan dan juga tidur di astaka berhampiran sebuah pangsapuri di Bukit Gambir.

Penderitaan dua beradik itu dikesan pengawal keselamatan yang kemudian menyerahkan si abang berusia 13 tahun dan adik lelakinya berusia 11 tahun kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Khamis lalu.


Difahamkan, dua beradik berkenaan kerap didera jika mereka lewat atau tiada di rumah selepas bapa mereka pulang dari kerja.

Dua beradik itu tinggal bertiga bersama bapa yang berusia 53 tahun selepas bercerai dengan ibu sejak mereka masih kecil.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, siasatan mendapati, kanak-kanak itu kerap didera bapa mereka dengan tangan dan kaki namun tidak pernah menerima rawatan perubatan.

“Kali terakhir si abang dipukul pada Disember lalu dengan ditumbuk mata kiri sehingga lebam selain mendakwa ditumbuk pada rusuk sebelah kanan.

“Adiknya pula kerap dipukul di kepala, muka dan seluruh badan dengan kali terakhir kejadian itu berlaku Januari lalu apabila dia ditumbuk mata kiri sehingga lebam selain dipijak rusuk kanan sehingga retak,” katanya.

Menurutnya, polis yang menerima maklumat berhubung kejadian itu menahan bapa dua mangsa berkenaan di Jalan Dato Keramat Khamis lalu bagi membantu siasatan.

“Suspek yang bekerja sebagai pemandu itu direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2011,” katanya.

Kredit : Harian Metro

No comments:

Post a Comment