Monday, 11 March 2019

Bot pukat lohong ancam sumber laut di perairan Pulau Pinang

Foto Mikhail Ong

KEHADIRAN kira-kira 15 bot pukat lohong yang menjalankan aktiviti menunda ikan di perairan Tanjung Bungah, Georgetown menyebabkan pendapatan kira-kira 400 nelayan tempatan terjejas.


Lebih membimbangkan, aktiviti dilakukan secara haram itu didakwa menyebabkan benih sumber laut musnah berikutan penggunaan pukat mereka tidak sesuai.

Pengerusi Nelayan Kawasan Teluk Bahang, Johari Mohamad berkata, kehadiran nelayan terbabit disedari beberapa bulan lalu, namun bilangannya semakin bertambah sejak kebelakangan ini.

Katanya, mereka menjalankan aktiviti menangkap ikan sekitar 2 hingga 9 pagi setiap hari pada jarak sehingga 500 meter dari pantai membabitkan sehingga enam nelayan dalam setiap sampan.

“Berikutan aktiviti mereka, tiada apa lagi bersisa untuk ditangkap nelayan pantai yang biasanya turun ke laut pada 7 pagi, apatah lagi dengan bot dan pukat kecil digunakan mereka.

“Bot lohong dikenali sebagai mini pukat tunda, malah saiz lubang pukat kecil iaitu berukuran sehingga satu inci sahaja boleh menyebabkan benih sumber laut tersangkut padanya.

“Aktiviti berkenaan memusnahkan mata pencarian kami kerana pukat nelayan turut musnah dirempuh bot berkenaan menyebabkan kerugian sehingga RM2,500 bagi membaiki kerosakan,” katanya dalam sidang media, semalam.

Johari ditemui selepas menyertai perhimpunan aman bersama lebih 30 nelayan pantai Tanjung Bungah bagi membantah pencerobohan bot lohong berkenaan.

Difahamkan, pengusaha bot lohong yang berpangkalan di Kuala Muda, Kedah serta Seberang Perai itu menggunakan bot dengan enjin lebih besar selain mengupah awak-awak warga asing untuk menangkap ikan.

Sementara itu, nelayan, R Ravichandran, 52, berkata hasil tangkapannya ketika ini semakin berkurangan kerana tidak mampu bersaing dengan bot lohong yang mengaut sumber laut dengan rakus.

Katanya, jika dahulu dia mampu meraih hasil sehingga RM300 sehari, kini pendapatannya hanya kira-kira RM50 dan ada kalanya pulang dengan tangan kosong.

“Bulan lalu, saya menegur nelayan bot lohong itu supaya beredar daripada kawasan ini, namun mereka mengugut sambil memegang kayu.

“Memandangkan mereka ramai, saya tidak boleh berbuat apa-apa dan hanya pulang serta membuat laporan kepada persatuan dan Pasukan Polis Marin (PPM),” katanya yang sudah 18 tahun bekerja sebagai nelayan.

Kredit Harian Metro

No comments:

Post a Comment