Tuesday, 12 March 2019

Imigresen Serbu Pasar Apollo



BUTTERWORTH, 11 Mar - Selepas Pasar Besar Bukit Mertajam digempur pada 8 March lepas, kini Pasar Butterworth atau lebih dikenali sebagai Pasar Apollo pula diserbu oleh Bahagian Penguatkuasa Imigresen Pulau Pinang.





Serbuan yang dilakukan itu menghadapi kesukaran apabila kehadiran pihak imigresen disedari oleh Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang disyaki sedang bekerja bertempiaran melarikan diri.

Namun dengan ketangkasan pegawai penguatkuasa, beberapa orang PATI telah berjaya ditangkap.

Sebanyak 4 gerai telah diperiksa dan 12 orang pekerja warga tempatan dan warga asing turut diperiksa. Seramai 4 orang PATI telah berjaya ditangkap kerana disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan dan Pas yang sah. Mereka terdiri daripada 3 lelaki Myanmar dan 1 wanita Vietnam.




Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk dikenakan tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada keatas warga asing terbabit serta majikan yang disyaki mengambil kerja warga asing terbabit.

JIMPP komited bagi menjalankan operasi penguatkuasaan berterusan dalam usaha membanteras dan menyelesaikan masalah PATI serta memastikan kesejahteraan , keselamatan dan kedaulatan Negara ini.

Berhubung dengan isu warga tempatan yang menyewakan premis atau lot-lot pasar borong kepada warga asing, JIMPP menyokong penuh tindakan pihak PBT untuk membatalkan lesen yang telah diberikan kepada mereka.

Ini antara tindakan yang perlu bagi menangani lambakan PATI yang bekerja dan juga menjalankan perniagaan di pasar-pasar terbabit.



No comments:

Post a Comment