Thursday, 14 March 2019

Keputusan SPM 2018 : Pulau Pinang Mencatatkan Peningkatan



BALIK PULAU, 14 Mac (Malaysiaaktif) – Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Dr. Mahanom Mat Sam memaklumkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2018 di negeri Pulau Pinang meningkat dari tahun sebelumnya pada Sidang Media Analisis Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia 2018 di Dewan Sekolah Menengah kebangsaan Pondok Upeh, di sini, hari ini.


“Alhamdulillah, bagi gred purata negeri Pulau Pinang kita berjaya mencatatkan 4.82 berbanding Gred Purata Nasional iaitu sebanyak 4.95. Ini menunjukkan kita berada dalam tahap yang baik”, katanya.

Sidang Media yang diadakan pagi tadi berlangsung di Dewan Sekolah Menengah kebangsaan Pondok Upeh

” Seramai 10 orang calon cemerlang dari 7 buah sekolah berjaya mencapai semua A+. Dalam pada itu, saya mengumumkan 10 buah sekolah dengan Gred Purata Sekolah (GPS) terbaik adalah SMJK Jit Sin, SM Sains Kepala Batas, SMKA Al-Irshad, SMK Bukit Jambul, SMJK (P) China Pulau Pinang, SMK Tinggi Bukit Mertajam, SMJK Chung Ling, SMK (P) St. George, SM Sains Tun Syed Sheh Shahabudin dan SMJK Chung Ling Pulau Pinang”,  tambahnya lagi.

Beliau turut mengumumkan sebanyak 25 buah sekolah yang mendapat pencapaian 100 peratus layak mendapat sijil antaranya adalah SMA Daeratul Maarifil Wataniah, SMA Tarbiah Islamiah, SM Sains Kepala Batas, SMK Pondok Upeh dan SMKA Al-Irshad.

Seramai 15,571 daripada 19,023 orang calon yang menduduki peperiksaan SPM 2018 layak mendapat sijil iaitu kira-kira 82.84%. Sebagai makluman, syarat pemberian sijil adalah calon diwajibkan lulus Mata Pelajaran Bahasa Melayu dan juga Sejarah.

Selain itu, peratus layak mendapat sijil keseluruhan tahun 2018 adalah sebanyak 82.84 peratus berbanding pada tahun 2017 iaitu sebanyak 82.44 peratus.

Manakala bagi kategori sekolah luar bandar peratus layak mendapat sijil tahun 2018  turut meningkat iaitu sebanyak 82.15 peratus berbanding 81.97 peratus pada tahun 2017.

Turut hadir pada sidang media itu adalah Zahari Zakaria, Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan, JPNPP dan Hasruldani Hussain, Ketua Sektor Psikologi, JPNPP merangkap Pegawai Pendidikan Daerah Barat Daya.

Kredit : MalaysiaAktif

No comments:

Post a Comment