Wednesday, 13 March 2019

Lebih 200 bangsal nelayan di Teluk Kumbar bakal dirobohkan


BALIK PULAU: Lebih 200 bangsal milik nelayan tradisi di Pusat Nelayan Kawasan (PNK) Teluk Kumbar di sini, yang dijadikan stor simpanan kelengkapan menangkap ikan, diarahkan dirobohkan.


Bangsal itu yang terletak di tepi pantai dari Kampung Nelayan hingga Sungai Batu dekat sini, dibina sejak hampir 30 tahun lalu.

Deretan bangsal nelayan di Teluk Kumbar
Gambar DANIAL SAAD BH
Berdasarkan notis daripada kerajaan negeri yang berkuat kuasa hari ini, nelayan perlu mengosongkan dan meroboh struktur berkenaan dalam tempoh dua minggu.


Berikutan itu, nelayan mempersoal tindakan kerajaan negeri yang mahu merobohkan bangsal berkenaan.

Wakil nelayan, Bakri Bakar, 53, mengakui mereka membina bangsal itu secara haram bertujuan menyimpan pelbagai kelengkapan untuk ke laut.

Katanya, nelayan membina bangsal di kawasan itu kerana tiada lokasi lain yang bersesuaian untuk dijadikan stor.

“Kerajaan negeri seharusnya bertimbang rasa dan memberi penyelesaian terbaik kepada nelayan, bukan berterusan memberi tekanan kepada kami,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Bakri bersama hampir 30 nelayan sekitar kawasan itu berhimpun bagi membantah cadangan tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR) bagi membiayai kos Pelan Induk Pengangkutan (PIP), dianggarkan bernilai RM49 bilion.

Sementara itu, nelayan, Faizal Zabri, 36, mempersoalkan data tahap penerimaan terhadap PSR yang dilampirkan dalam laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) projek berkenaan.

Katanya, data dihasilkan Rakan Pelaksana Projek (PDP) yang menjelaskan sebanyak 51.1 peratus orang ramai menyokong cadangan PSR itu tidak mewakili pandangan masyarakat nelayan.

“Tiada pertemuan khusus membabitkan keseluruhan nelayan yang akan terjejas dengan PSR dibuat, selain pungutan suara berhubung pelaksanaan cadangan projek ini dikatakan hanya dibuat ke atas kumpulan tertentu.

“Peratusan berkenaan sebaliknya mempamerkan pandangan pihak lain, khususnya operator perniagaan. Sebaliknya, lebih 90 peratus nelayan jelas membantah cadangan projek itu.

“Justeru, kewajaran pelaksanaan cadangan ini boleh dipersoal kerana hasil pungutan suara berhubung projek ini tidak mengetengahkan pandangan golongan yang akan terjejas teruk daripada projek ini,” katanya.

Kontroversi projek membangunkan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar yang berlarutan sejak 2015 itu, terus membelenggu nelayan yang bergantung sepenuhnya kepada hasil laut sebagai punca pendapatan mereka.

Sebelum ini, Ketua Perunding DEIA projek terbabit, Prof Datuk Dr Sharifah Mastura Syed Abdullah, mendedahkan kerja tambakan laut berkenaan bakal memusnahkan sepenuhnya lokasi pendaratan penyu dan habitat hidupan laut yang selama ini menjadi sumber rezeki nelayan tempatan.

Kredit Berita Harian






No comments:

Post a Comment