Saturday, 9 March 2019

PATI menyorok dalam bakul sayur



Bukit Mertajam, 8 Mar - Dalam usaha membenteras PATI, Bahagian Penguatkuasa Imigresen Pulau pinang telah mengempur Pasar Besar, Bukit Mertajam.

Keadaan menjadi kelam kabut apabila PATI yang sedang berjaja menyedari kehadiran pegawai telah cuba melarikan diri, namun dengan ketangkasan pegawai penguatkuasa tindakan PATI tersebut telah berjaya dipatahkan.


Bukan itu saja, ada PATI yang ketakutan telah hilang pertimbangan dengan cuba menyorokan diri di dalam bakul sayur. Beliau terlupa yang saiz bakul itu kecil untuk memuatkan sayur saja.

Sebanyak 6 buah gerai atau tapak niaga serta seramai 13 orang warga asing telah diperiksa. Hasilnya seramai 8 orang PATI warganegara Myanmar telah berjaya ditangkap kerana disyaki gagal mengemukakan dokumen atau Pas yang sah.

Kesemua mereka telah ditangkap dan dihantar ke Depot Imigresen Juru untuk ditahan bagi siasatan lanjut.

Menurut Pengarah Imigresen Pulau Pinang, Muhamad Husni Bin Mahmud, Jabatan Imigresen akan mengambil tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang yang sedia ada ke atas majikan yang bertanggungjawab mengambil kerja dan menggajikan PATI.

Sambil mengucapkan syabas dan tahniah kepada Bahagian Penguatkuasa Imigresen Pulau Pinang, beliau turut menyatakan bahawa Jabatan Imigresen Pulau Pinang akan terus memperhebatkan gerakan operasi yang akan dilaksanakan secara bersepadu dan berskala besar melibatkan pelbagai agensi penguatkuasa.

Selain daripada itu, peranan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga penting bagi mempastikan semua peniaga mempunyai lesen yang sah atau sekiranya boleh proses pemberian lesen diperketatkan. Pemantauan yang berterusan oleh Pegawai Penguatkuasa PBT di tapak niaga juga dapat membantu mengatasi masalah berkaitan PATI.









No comments:

Post a Comment