Friday, 8 March 2019

Pemuda UMNO, MIC dan Pas Nibong Tebal bersama-sama buat laporan polis terhadap Guan Eng

TIGA pemimpin dari pergerakan Pemuda UMNO, MIC dan Pas membuat laporan polis berhubung kenyataan Setiausaha Agung DAP, LIm Guan Eng di ibu pejabat polis daerah Jawi, Nibong Tebal, Pulau Pinang pukul 10 pagi tadi. - 

NIBONG TEBAL 8 Mac – Tiga pemimpin pergerakan Pemuda UMNO, MIC dan Pas kawasan Nibong Tebal hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang merujuk kepada kerjasama UMNO dan Pas.

Laporan polis itu masing-masing dibuat Ketua Pemuda UMNO, Mohd. Norhiesam Ismail; Ketua Pemuda MIC, G. Ellangovan dan Naib Ketua Dewan Pemuda Pas, Abdul Mushawwir Abd. Rashid di balai ibu pejabat polis daerah Jawi, di sini pukul 10 pagi tadi.

 Menurut Mohd. Norhiesam, tindakan itu diambil berikutan pihaknya beranggapan kenyataan dibuat Guan Eng yang juga Menteri Kewangan itu adalah biadab, rasis serta tidak bertangungjawab selain boleh menggugat perpaduan kaum dan keharmonian negara.

 Katanya, sebagai menteri kanan dalam kerajaan, Guan Eng tidak sepatutnya membuat kenyataan seperti itu apatah lagi secara jelas ditujukan kepada dua buah parti Melayu.

Tambah beliau, kerjasama antara UMNO dan Pas tidak ada kena-mengena dengan Guan Eng untuk beliau membuat sebarang kenyataan sebaliknya Guan Eng perlu memberi tumpuan kepada usaha menunaikan janji Pakatan Harapan (PH) kepada rakyat yang kini gagal dilaksanakan.

 “Kami menggesa polis dan pihak berkuasa berkaitan supaya mengambil tindakan tegas khususnya Akta Hasutan terhadap Guan Eng yang mana kenyataannya jelas boleh menggugat keamanan dan keharmonian antara kaum.

 “Bagi kami perkara ini cukup serius dan membimbangkan apatah lagi dibuat oleh seorang menteri kanan yang sepatutnya berperanan dan berkhidmat kepada semua kaum,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis itu.

Dalam pada itu, menurut Mohd. Norhiesam, mereka juga menggesa Guan Eng memohon maaf atas kenyataan tersebut dan meletakkan jawatan dalam Kabinet atas rasa bertanggungjawab terhadap tindakannya tersebut.

Sebelum ini, sebuah portal memetik kenyataan Guan Eng yang menyifatkan kerjasama antara UMNO dan Pas sebagai satu ‘pengisytiharan perang’ ke atas masyarakat bukan Melayu.

Bagaimanapun, Guan Eng selepas itu telah mengubah kenyataannya dan frasa ‘pengisytiharan perang’ di tukar kepada ‘menyasarkan’.

Kredit : Utusan Online



No comments:

Post a Comment