Friday, 8 March 2019

Pengusiran penyewa PPR Taman Manggis didakwa tidak sah

Mohd Khairul Azam yang mewakili tujuh keluarga penyewa yang diusir pada sidang media di Komtar siang tadi. Gambar NSTP / Mikhail Ong
GEORGETOWN: Pengusiran 22 keluarga penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis di sini, Rabu lalu, dikatakan tidak sah apabila keseluruhan proses itu didakwa dibuat tanpa mendapat perintah mahkamah.

Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang mewakili tujuh keluarga penyewa yang diusir, mendakwa tindakan itu antara lain bertentangan dengan Seksyen 7 (2) Akta Relif Spesifik 1950.

Katanya, notis mengenai perkara itu diserahkan kepada Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang, Datuk Seri Farizan Darus, hari ini.


“Tindakan pengusiran ini juga melanggar Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan, selain kerajaan negeri sebenarnya sudah melakukan pencerobohan, jenayah dan mengugut penduduk terbabit.

“Malah, mereka (kerajaan negeri) ugut untuk kunci penduduk di dalam rumah jika enggan bekerjasama ketika proses pengusiran, Rabu lalu. Jika ini terjadi, mereka sudah melakukan penahanan tak sah yang boleh disaman mengikut ‘habeas corpus’.

“Pengusiran ini juga tak masuk akal, selain tindakan ini disifatkan bertentangan dengan slogan yang kononnya kerajaan mendukung Peraturan Undang-Undang,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pagi tadi, kerajaan negeri membenarkan semua penduduk yang diusir dari rumah mereka di PPR Taman Manggis di sini, kembali mendiami kediaman masing-masing sehingga Ahad ini.

Sebanyak enam keluarga membabitkan hampir 40 isi rumah yang diusir kini berteduh di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), sejak jam 12 tengah malam kelmarin.

Mohd Khairul Azam berkata, pihaknya turut menasihatkan penghuni terbabit mengenai hak mereka untuk memfailkan saman ke atas kerajaan negeri, susulan tindakan pengusiran berkenaan.

“Sebarang keputusan sama ada penduduk mahu saman kerajaan negeri atau sebaliknya hanya akan dimaklumkan minggu hadapan. Kita akan jumpa kerajaan negeri di mahkamah, jika mereka setuju untuk memfailkan saman.

“Saya turut menasihati mereka supaya setiap perbincangan bersama kerajaan negeri perlu membabitkan peguam kerana mereka berhak berbuat demikian mengikut Perkara 5 (3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pendirian kerajaan negeri membenarkan penghuni terbabit kembali mendiami rumah masing-masing tidak dibangkitkan dalam perbincangan antara pihaknya dan kerajaan Pulau Pinang.

Kredit Berita Harian Online

No comments:

Post a Comment